Tidak adil golongan kaya dikecuali cukai

takiri1
- Advertisement -

TIDAK dinafikan bahawa golongan pemodal adalah faktor penting yang menjamin kemampanan ekonomi negara. Namun, tidak sepatutnya Kerajaan mendahulukan rakyat sebagai penanggung beban sedang dibiar pula golongan kaya tanpa dikenakan cukai yang wajar terhadap lebihan harta dan pemilikan mereka yang diperolehi dari keringat orang miskin juga.

- Advertisement -

Jawapan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat semalam mengenai ketidaksediaan Kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas golongan kaya adalah jelas menunjukkan Kerajaan sebenarnya lebih berminat untuk menjaga kepentingan golongan pemodal berbanding membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Walhal, lebihan kekayaan golongan pemodal yang sepatutnya dikenakan cukai itu adalah hak golongan miskin yang mesti ditunaikan sebagai memenuhi tuntutan pengagihan kekayaan secara saksama bagi menjamin keseimbangan dalam kalangan rakyat.

Berdasarkan sistem percukaian Islam pula, cukai ini hanya dikenakan pada kadar (nisab) yang sangat rendah iaitu 2.5% dan setelah mencapai tempoh (haul) tertentu sahaja. Oleh itu, ia tidak sedikit pun menjejaskan golongan pemodal mahupun prestasi ekonomi dan kewangan negara. Antara yang perlu dicukai ialah pemilikan saham, keuntungan jual beli saham dan cukai simpanan.

Akibat tidak mengenakan cukai ke atas golongan kaya inilah sebenarnya yang lebih buruk terhadap rakyat dan negara. Antaranya ialah:

(i) Golongan berpendapatan rendah dan sederhana berterusan dibebankan dengan pelbagai cukai langsung dan cukai tidak langsung disamping menghadapi kenaikan kos sara hidup.

(ii) Melebarkan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat.

(iii) Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak dapat berkembang pesat kerana sektor ekonomi dikawal dan berpusat hanya kepada para peniaga atau pemodal yang mempunyai modal yang banyak dan besar sahaja.

(iv) Menggalakkan sistem riba dan menjadikannya semakin berleluasa kerana ia adalah kaedah oleh golongan pemodal untuk mengaut keuntungan yang lebih besar. Oleh itu, akan ada pihak yang menjadi mangsa penindasan.

(v) Mengukuhkan monopoli dalam pelbagai sektor ekonomi.

Oleh itu, sekali lagi saya menegaskan bahawa Kerajaan sepatutnya mengenakan cukai ke atas golongan kaya ini antaranya dengan memperkenalkan cukai atas simpanan korporat dan cukai atas pegangan dan keuntungan saham. Juga melakukan reformasi terhadap sistem percukaian korporat dengan tidak hanya dikenakan ke atas keuntungan dengan nisbah besar tetapi menurut model zakat perniagaan Islam yang lebih adil. Sekali gus memansuhkan semua bentuk cukai kepenggunaan yang dikenakan secara langsung ke atas rakyat.

Sekiranya tidak, bencana ekonomi tidak mustahil boleh berlaku.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Jumaat, 16 November 2018 | 8 Rabiul Awwal 1440 – HARAKAHDAILY 16/11/2018

- Advertisement -