ICERD: Melayu mesti bersatu atas Islam

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Bantahan umat Islam terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi (ICERD) kini merebak di seluruh negara.

- Advertisement -

Namun, bantahan terhadap ICERD itu bukanlah bermakna Islam anti kepada non-muslim dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, himpunan secara aman membantah ICERD ini atas nama mempertahankan kesucian Islam.

Menurutnya, selama ini masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

“Hari ini kita berkumpul di atas nama Islam. PAS hanya mengambil tanggungjawab itu. Kita berkumpul untuk mempertahankan kesucian Islam, daripada parti-parti politik PAS, Umno dan NGO seperti persatuan silat, Gamis, Pekida dan lain-lain untuk menyuarakan bantahan terhadap ICERD ini.

“Bantahan terhadap ICERD bukan bermakna kita anti kepada penganut-penganut agama lain. Kita bukan anti kepada bangsa dan kaum lain. Negara kita sebuah negara majmuk yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni selama ini,” ujarnya.

Beliau berucap pada Himpunan Aman Bantah ICERD di perkarangan Masjid Tengku Intan Zaharah (Masjid Terapung) Kuala Terengganu, di sini, selepas solat Jumaat, hari ini.

Ustaz Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok turut mengajak umat Islam hari ini bersatu atas nama Islam.

“Hari ini umat Islam mesti bersatu, bahawa orang-orang Melayu mesti bersatu di atas nama Islam. Islamlah sahaja yang boleh menyelamatkan kita.

“Kita akan terus berkumpul dan memberi penerangan kepada seluruh rakyat tentang ancaman ICERD dan isu-isu yang berlaku ini,” tegasnya di hadapan lebih 3,000 hadirin.

Sehubungan itu, katanya, pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa isu ICERD ini bagi menunaikan janji mereka kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu.

“Tiba-tiba kerajaan PH yang memerintah pada hari ini, mereka kata hendak bawa ICERD ini kerana telah berjanji kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum lalu.

“Berapa banyak mereka telah berjanji kepada rakyat tetapi hakikatnya, mereka ‘kencing’ rakyat. Mereka janji untuk hapuskan tol tetapi tol tidak dihapuskan. Mereka janji hapuskan PTPTN tetapi tidak juga dihapuskan.

“Rakyat duduk dalam keadaan aman, tidak ada apa-apa gangguan, tiba-tiba mereka hendak sahkan ICERD ini. Hak-hak umat Islam akan terancam,” tegasnya dihadapan lebih 3,000 umat Islam.

Himpunan Aman bantah ICERD itu anjuran Pemuda PAS Terengganu yang turut disertai pelbagai parti dan NGO termasuk, Umno, Pekida (Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia), Gamis (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia) dan lain-lain.

Hadir sama Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah, Naib Ketuanya, Ustaz Hilmi Harun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan berangan, Sulaiman Sulong. – HARAKAHDAILY 16/11/2018

daging

- Advertisement -