Tolak ratifikasi semua konvensyen antarabangsa

fadli shaari
- Advertisement -

SELAIN gesaan supaya menolak sebarang bentuk ratifikasi konvensyen antarabangsa termasuklah International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) yang sedang hangat dibahaskan, International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) serta konvensyen-konvensyen yang lain juga wajib ditolak untuk diratifikasikan.

- Advertisement -

Ini kerana kesemua konvensyen antarabangsa tersebut tidak sesuai dengan prinsip perundangan, polisi dan dasar, norma serta latarbelakang sejarah yang telah lama didokong di negara ini.

Terdapat pelbagai desakan supaya Kerajaan meratifikasi konvensyen antarabangsa yang tidak hanya melibatkan ICERD, bahkan juga merangkumi ICCPR, ICESCR, CAT, ICRMW dan ICPPED. Kenyataan Kementerian Luar Negeri pada 29 Oktober 2018 sekali lagi menyatakan komitmen Kerajaan untuk meratifikasi baki konvensyen tersebut.

Perlu difahami bahawa kebimbangan bukan sahaja terarah kepada ICERD yang mendapat penentangan ramai, bahkan juga terhadap ICCPR. Ini kerana konvensyen ini turut menyentuh soal kebebasan beragama yang seringkali dilaungkan supaya menjadikan murtad bukan suatu jenayah (decriminalize) di negara ini.

Perkara 18 ICCPR yang turut terdapat dalam Perkara 18 Universal Declaration of Human Rights (UDHR) adalah mengenai kebebasan beragama termasuklah terhadap Islam itu sendiri.

Hal yang sama terkandung dalam Perkara 5(d)(vii) ICERD. Seorang diplomat daripada Brazil, Jose A. Lindgren Alves, salah seorang ahli dalam Komiti Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (the Committee on the Elimination of Racial Discrimination – CERD) dalam artikel beliau bertajuk “Race and Religion in the United Nations Committee on the Elimination of Racial Discrimination” menjelaskan:

“For addressing issues that involve religion, CERD uses not only ICERD as its legal reference…the first, of course, is the Universal Declaration, which states in its article 18…another legal source for CERD’s work on the matter can be found in ICCPR.” (ms.11&12)

Hari ini, tanpa ratifikasi ICERD mahupun ICCPR, ada sesetengah sudah berani menyebarkan kitab bible terhadap Muslim walaupun asasnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 11(4). Maka bayangkan dengan ratifikasi konvensyen tersebut, bukankah mereka akan menjadi semakin berani bertindak menyebarkan dakyah serta menggalakkan jenayah murtad dikalangan Muslim?

Justeru, perkara ini perlu dilihat secara jelas bahawa gesaan menolak ratifikasi konvensyen tidak hanya melibatkan ICERD semata-mata, bahkan juga konvensyen-konvensyen antarabangsa yang lain. Kerajaan diharap memperhalusi sedalam-dalamnya soal ratifikasi ini dan tidak secara terburu-buru dalam melaksanakan tindakan.

“Terus Mara”
“Islam Memimpin”

Ahmad Fadhli Shaari
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 15/11/2018

- Advertisement -