Malaysia tidak perlu ICERD

- Advertisement -

MARANG: Malaysia tidak perlu mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana Perlembagaan telah menjamin kebebasan beragama dan hak-hak kaum di negara ini.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan perkara itu, ketika bercakap dalam sidang media selepas merasmikan bangunan Madrasah Darul Iman (MDI) di Kampung Titian Baru, Kedai Buloh, Bukit Payung, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Ini kerana, kata beliau, Islam yang ada dalam Perlembagaan negara lebih baik daripada ICERD itu sendiri.

“ICERD ini tak perlu ada di Malaysia, kerana Perlembagaan Malaysia sudah menjamin kebebasan beragama dan hak kaum-kaum.

“Islam yang ada dalam Perlembagaan itu memberi ruang yang lebih baik daripada ICERD, lebih adil dari ICERD. Oleh sebab itu, cukup dengan apa yang ada dalam Perlembagaan,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, peranan ICERD itu bagi mengawasi dan bertindak terhadap kebebasan Islam.

Malah, Presiden PAS itu turut khuatir ada pihak tertentu dalam negara ini telah dipengaruhi oleh anasir luar.

“Apatah lagi ICERD itu konsepnya ialah untuk mengawasi dan bertindak terhadap Islam supaya tidak bebas. Di mana, sasarannya Islam dan bukan agama-agama lain.

“Itu (ICERD) ada pihak dalam negeri ini dipengaruhi pihak luar. Kita mengharapkan pihak kerajaan Pusat mengambil langkah yang bijaksana dalam menangani perkara ini.

“Sebagaimana yang ditunjuk oleh kerajaan yang lalu, sejak negara mencapai kemerdekaan tahun 1957 hingga ke hari ini,” jelasnya.

Ketika ditanya, apakah tindakan tegas yang perlu dilakukan dalam menangani isu ICERD, kata Tuan Guru Abdul Hadi, buat masa ini cukup dengan bersuara di Parlimen dan media.

“Kita ada Parlimen dan perbahasan di Parlimen sudah cukup dan dengan apa yang kita (PAS) buat kenyataan di Parlimen dan media sudah cukup,” ujarnya.

Ketika perbahasan Belanjawan 2019 pada 13 November lalu, beliau memberi amaran keras kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan usah menyalahgunakan parlimen kerana dengan mudah PAS boleh mengerahkan berjuta rakyat turun ke jalan raya bagi menentang ICERD. – HARAKAHDAILY 15/11/2018

- Advertisement -