Malaysia tidak bertambah baik di bawah PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Segala harapan rakyat membuat perubahan menukar teraju negara daripada pemerintahan BN kepada Kerajaan PH hingga kini masih jauh dari memenuhi impian dicitakan, sebaliknya menempuh kekecewaan dan pelbagai polemik.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad berkata, sentimen rakyat mahukan kerajaan baharu yang lebih baik daripada pemerintahan terdahulu daripada pelbagai sudut.

“Sebelum ini rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barang keperluan yang sangat melampau dan di luar daripada kemampuan disebabkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Di bawah pemerintahan Kerajaan PH, GST dihapuskan, tetapi diperkenalkan kembali semula kepada sistem lama iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Harga barang terus meningkat, rakyat terseksa, tertekan dengan kenaikan gaji pula tidak berlaku.

“Di mana janji-janji manifesto PH tidak berlaku iaitu gagal dalam memberikan satu kehidupan lebih baik yang diharapkan rakyat dari perubahan yang mereka lakukan dengan menukar kerajaan,” ujarnya dalam temubual bersama NTH Online Media, di sini kelmarin.

Menurut beliau, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) pernah membentangkan laporan yang menunjukkan kedudukan ekonomi orang Melayu, termasuk pendapatan isi rumah, adalah paling rendah berbanding bangsa Cina dan India dalam negara ini.

Katanya, sejak sekian lama di bawah BN rakyat tidak merasa semakin baik, malangnya diterajui PH menyaksikan Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini juga telah meminggirkan golongan B40.

Belanjawan tersebut ujarnya, seolah-olah melupakan golongan majoriti dan masih memerlukan bantuan menyebabkan kehidupan mereka di kampung serta para petani dan nelayan terus terhimpit.

Sensitiviti diusik

Pada temubual membicarakan isu “Melayu dan Islam diancam” itu, beliau turut menyuarakan tindakan-tindakan PH yang mutakhir ini semakin tidak menjaga sensitiviti, bahkan mencabar banyak perkara penting dalam negara.

Terangnya, sebelum PRU14, NGO-NGO serta NGI telah menyuarakan kebimbangan terhadap asas-asas dan tonggak negara yang semakin terhakis kerana sering dipertikai pihak politik tertentu hingga mendatangkan unsur ancaman dan gugatan.

Sehubungan itu katanya, mereka telah menyeru supaya pengundi memastikan pilihan diberi kepada parti yang boleh menjamin kedudukan Islam dan Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan terus terpelihara.

Kemukanya, namun dapat dilihat selepas PRU14 ketika berlaku kelewatan proses perkenan pelantikan Peguam Negara, Tommy Thomas oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V, baginda dikecam oleh netizen pelampau daripada pihak PH.

“Kerajaan yang ada ini bukan sahaja tidak boleh diharap untuk menjaga ketinggian kedudukan YDPA dan institusi istana, bahkan dilihat menjadi pelopor kepada ruang memperlekehkan kedudukan Majlis Raja-raja,” kesalinya.

Dasar bercelaru

Beliau turut menyentuh mengenai pengesahan pengiktirafan Kerajaan PH kepada Sistem Peperiksaan Bersepadu (UEC) di mana disifatkannya merupakan sistem pendidikan swasta yang terkeluar, bahkan menderhaka kepada Dasar Pendidikan Negara (DPN).

“Bagaimana satu sistem yang dibina atas penderhakaan terhadap sistem pendidikan negara boleh diberi pengiktirafan? Mereka melahirkan generasi yang jauh daripada matlamat DPN.

“Menunjukkan Kerajaan PH bukan sekadar lemah memperjuang dan mempertahan DPN, malah mengambil jalan mengiktiraf UEC. Sepatutnya sebagai kerajaan kena bertegas dengan mereka itu,” tegasnya.

Kamaruzaman juga mempertikai tindakan Kerajaan PH memberi wang rakyat sebagai peruntukan kepada sekolah mubaligh dan swasta Cina yang didirikan dengan motif keuntungan perniagaan.

Bentaknya, pengagihan tersebut adalah tidak adil sedangkan sekolah swasta berkenaan sangat berkemampuan hingga memiliki prasarana yang jauh lebih baik daripada sekolah kebangsaan.

Menurut pemimpin rakyat ini, sepatutnya Kerajaan PH mengembali dan memperkasakan semula banyak hak serta kepentingan rakyat yang susut sepanjang pemerintahan BN antaranya dalam pendidikan melibatkan biasiswa dan kouta, kerana diganti oleh pinjaman PTPTN dan sistem meritokrasi.

Malangnya yang terjadi pula kata beliau, peruntukan ke bidang pendidikan banyak dikurangkan, janji Manifesto PH berkenaan PTPTN gagal ditunaikan, malah memberi pula lebihan tempat ke Matrikulasi kepada kaum lain, serta mengiktiraf UEC.

Suara tokoh negara

Ceritanya, Himpunan Kebangkitan Ummah pada 26 Julai di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru menyaksikan ramai tokoh negara turut hadir menyatakan ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan PH

Antara disuarakan adalah kebimbangan bekas Ketua Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Dato’ Seri Zaman Khan terhadap cubaan menghapuskan Akta Hasutan yang boleh memberi ancaman terhadap kedaulatan negara.

Sedangkan, akta tersebut bertujuan menyekat sesiapa sahaja yang berniat jahat menyentuh perkara-perkara penting termasuk melibatkan keistimewaan orang Melayu, kedudukan Islam dan Majlis Raja-raja dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya akta ini dihapuskan, akan ada pihak yang bebas tidak menghirau sensitiviti masyarakat, sekali gus membuka ruang kepada kedudukan yang tidak baik untuk negara,” ujar Kamaruzaman mengungkap peringatan Zaman.

Malah menurutnya, para tokoh juga menyuarakan bahawa usaha dan polisi dilakukan ahli-ahli politik daripada PH dilihat banyak yang bertentangan dengan perkara terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 14/11/2018

- Advertisement -