Rahsia kejayaan pentadbiran PAS di Kelantan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendedahkan rahsia kejayaan pentadbiran PAS di Kelantan sejak tahun 1990 hingga sekarang.

- Advertisement -

Katanya, komitmen yang diberikan oleh kerajaan dalam membasmi rasuah dan meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran adalah perkara asasi yang perlu dibudayakan, bermula daripada kehendak politik (political will) yang ditunjukkan oleh pemimpin atasan.

“Inilah rahsia kejayaan pentadbiran PAS di Kelantan sejak tahun 1990 hingga sekarang, yang ditunjukkan dengan ketinggian integriti oleh Menteri Besar, barisan Exco dan Adun, serta jentera pentadbiran di peringkat pertengahan, walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran, dinafikan royalti, tidak menghormati konsep federalisma.

“Kami tidak mahu lagi mendengar jawapan sekadar menuding jari ke arah kerajaan yang lalu yang telah memerintah selama lebih enam puluh tahun,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang ketika membahaskan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, petang ini.

Tambahnya, apa yang penting dijawab dengan tindakan penyelesaian dan jangan sekadar mudah berjanji dapat menurunkan harga minyak dalam tempoh dua puluh empat jam, dapat menghapuskan tol dengan segera, dan banyak lagi janji yang diberikan.

Katanya, sekarang sudah berlalu enam bulan dengan hanya sekadar menukar GST kepada SST yang pernah diamalkan pada zaman dahulu kala dan pernah mengalami masalahnya maka ditukar kepada GST.

Beliau berkata, sudah tentu cara menukar kembali kepada SST hanya akan mengulangi pelbagai masalah yang pernah dialami dahulu.  

“Usaha membasmi rasuah dan meningkatkan integriti ini memerlukan komitmen dan kejujuran semua pihak. Ianya tidak cukup dengan ungkapan retorik dan nada sinis ketika pembentangan bajet di Parlimen, tetapi perlu diterjemahkan dalam aspek ketelusan oleh mereka yang kini berkuasa untuk meluluskan dan mengagihkan tender besar kerajaan.

“Sejauh mana menteri baharu tidak akan mengulangi budaya menteri lama, hanya waktu yang akan menentukan,” ujarnya lagi.

Tambahnya, tanda-tanda awal yang menunjukkan tindakan yang mengulangi kesilapan dahulu, iaitu dengan hanya lawan dan musuh politik sahaja disapu.

“Adapun dalam kalangan diri sendiri dibatalkan di pertengahan perjalanan siasatan SPRM dengan alasan yang diada-adakan sahaja. Menunjukkan konsep pemisahan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan badan kehakiman tidak dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2018

- Advertisement -