Protes: Pembangkang keluar dewan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kesemua Adun pembangkang termasuk dua orang daripada Barisan Nasional bertindak keluar dewan petang ini ketika Adun Guar Chempedak, Dato’ Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail memulakan ucapan perbahasan.

- Advertisement -

Menurut Ketua Pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor, tindakan itu sebagai protes terhadap Adun yang keluar parti dan menyertai Bebas serta menyokong Kerajaan Pakatan Harapan.

“Walau pun parti berlainan PAS dan Umno tapi kita menentang budaya melompat parti serta sikap PH yang sentiasa berusaha memujuk Adun-Adun pembangkang untuk menyertai dan menguatkan pakatan mereka.

“Ini merupakan satu pengkhianatan terhadap pengundi di bawah yang tindakan ‘walk out’ tatkala dia mula berucap ini sebagai membuktikan semua Adun pembangkang membantah dan tidak bersetuju dengan tindakannya seumpama itu,” ujarnya yang juga Adun Jeneri.

Walau bagaimanapun, katanya tindakan bersama Adun PAS dan Umno itu bukan bermakna berlakunya kerjasama atau gabungan politik tetapi lebih kepada memprotes tindakan yang dianggap khianat terhadap parti yang bertungkus lumus bekerja untuk kemenangannya pada PRU lalu.

Sementara itu, Dato’ Suraya Yaacob (BN- Sungai Tiang) berkata, beliau dan sahabatnya Dato’ Nor Sabrina Mohd Noor (BN-Bandar Baru) bersetuju dan bersama-sama dengan Ketua Pembangkang bertindak keluar dewan.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa atas tindakan Adun Guar Chempedak yang mengisytihar keluar parti pada hari kedua persidangan Dun.

“Sepatutnya beliau mengisytiharnya sebelum sidang dewan tapi tindakan seperti ini bagi saya tidak profesional dan mengkhianati parti. Malah perkara ini langsung tidak diketahui sebelum ini dan tiada sebarang surat pemakluman kepada presiden parti,” jelas beliau kesal.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menyifatkan tindakan yang dibuat oleh Adun Guar Chempedak itu adalah pengecut kerana sanggup meninggalkan parti tatkala kalah dan susah. – HARAKAHDAILY 13/11/2018

- Advertisement -