PAS ragu AG henti tindakan perundangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS meragui langkah Peguam Negara (AG) memberhentikan tindakan perundangan yang sedang berjalan terhadap pemimpin Pakatan Harapan.

- Advertisement -

“Kita sangat meragui langkah Peguam Negara (AG) memberhentikan tindakan perundangan yang sedang berjalan terhadap pemimpin Pakatan Harapan sewaktu proses kehakiman sedang berjalan sehingga dihentikan terus,” ujar Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang ketika membahaskan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, petang ini.

Katanya, adapun terhadap pihak lawan politik dilakukan dengan rakus begitu rupa, sehingga dengan apa sahaja alasannya.

“Walaupun PAS tiada dalam kalangan kami yang dicekup, dan sentiasa membuka pintu kalau ada salah laku, namun kami ingin bertanya adakah melalui tangan-tangan ghaib yang merempuh batas pemisahan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan kehakiman yang menjadi konsep demokrasi yang sebenar,” ujarnya.

Begitulah, katanya apabila sistem sekularisme yang tiada roh keimanan dan kepercayaan mengenai adanya konsep dosa dan pahala, dalam sistem pemerintahan dan pelaksanaan undang-undang.

“Bermula dari sinilah mengapa kami ingin memperkenalkan perbezaan di antara syariat dan undang-undang ciptaan manusia melalui RUU 355 yang tergantung, kerana sikap prejudis dalam kalangan bukan Islam dan yang Islam pula ada yang bersekongkol bersamanya,” ujarnya lagi.

Kini, tambah beliau ada pula dari kalangan yang menunjukkan sikap lebih bersimpati kepada penjenayah daripada yang sepatutnya bersimpati dan bersikap kasihan belas terhadap mangsa jenayah.

Ini, katanya kerana terpengaruh dengan negara Barat yang membatalkan hukuman mati secara mutlak, demi menyokong kalangan mafia dan gangster yang mendukung parti yang memerintah dari belakang sehingga hilangnya nilai kemanusiaan.

“Di mana Islam meletakkan betapa tingginya nyawa manusia, sehingga agama samawi sebelum Islam meletakkan kesalahan atau dosa membunuh satu nyawa sahaja,” jelasnya.

Hal ini, kata beliau menunjukkan semua agama Kitabi, Yahudi dan juga Kristian menetapkan hukuman mati terhadap kesalahan jenayah membunuh secara mandatori, dengan memberi hak pengampunan kepada mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampun yang tiada kaitan dengan mangsa jenayah.

Beliau menambah, Islam juga menetapkan hukuman bunuh tidak mandatori terhadap beberapa kesalahan yang termasuk dalam kesalahan hudud dan takzir, contohnya terhadap jenayah rompakan atau lanun yang tidak sama keadaannya.

Sepatutnya, kata beliau dikaji perbezaan cara hukuman Islam yang beradab dengan cara hukuman ciptaan manusia yang tidak beradab seperti hukuman mati digantung dan hukuman sebatan yang kejam. – HARAKAHDAILY 13/11/2018

- Advertisement -