ECRL beri impak besar kepada negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berpandangan bahawa Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) memberi impak yang besar kepada negara dan mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

- Advertisement -

Menurutnya, semakan semula kos pelaksanaan projek-projek mega adalah perkara yang dialu-alukan.

Katanya, projek itu sebenarnya bermanfaat untuk pembangunan setempat khususnya di sebelah Pantai Timur yang sudah lama ketinggalan dari sudut pembangunan dan infranstruktur.

“Negara kita akan menjadi jaringan sistem perkhidmatan awam dan tidak akan mencapai status negara maju sekiranya pembangunan wilayah tidak seimbang.

“Adakah kerana Pantai Timur ini ditadbir oleh parti pembangkang menyebabkan kerajaan PH mendiskriminasikan rakyat di sana?” tanya beliau ketika membahaskan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, semalam.

Jelas beliau, rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang sudah membuat keputusan secara demokrasi dan wajar dilayan sama rata dan adil.

“Kita ada melihat dalam satu majalah, sumbangan rakyat Kelantan kepada kerajaan dalam hasil kutipan cukai melebihi RM9 bilion.

“Jadi pulangan untuk bagi secara ‘grand’ berkapital ataupun hak royalti, saya fikir perlu disokong dan diberi, kerana pulangan kutipan setiap negeri kalau disenaraikan Kerajaan Malaysia tiada negeri. Mana ada negeri Kerajaan Malaysia, tapi Persekutuan Malaysia inilah negara mereka,” ujarnya.

Tambahnya, projek ECRL itu sekiranya diteruskan boleh dimanfaatkan melalui pertukaran teknologi agar tenaga kerja tempatan dapat dilatih menjadi pekerja yang mahir dan berinovasi.

Justeru, beliau mendesak kerajaan menyemak semula keputusan ECRL. – HARAKAHDAILY 14/11/2018

- Advertisement -