Sokong bantahan Mufti Perak terhadap ICERD

- Advertisement -
TAHNIAH diucapkan ke atas kenyataan Mufti Perak, Dato’ Seri (Dr) Harussani Zakaria yang jelas menunjukkan pendirian tegas menyanggah keperluan ratifikasi ICERD. Berdasarkan hujah dan saranan serta nasihat yang tegas kepada pihak kerajaan, sememangnya kenyataan cukup memberi makna dalam perjuangan ummah dan rakyat umumnya dalam membantah ratifikasi ICERD.
 
Suara para mufti amat ditagih perjuangan ummah apatah lagi ICERD ini adalah isu prinsip dan maruah ketuanan Melayu di mana Melayu merupakan tuan tanah asal dan teras kepada Islam di tanah air ini. Penghapusan keistimewaan ini jelas memberikan implikasi negatif sedangkan persepakatan menerusi kontrak sosial sewaktu kemerdekaan dicapai tidak pernah mendiskriminasi mana-mana kaum selain Melayu, malah mereka turut mendapat kewarganegaraan bersama. 
 
Saranan kepada semua para mufti yang lain untuk turut bersama-sama mengeluarkan pendirian yang jelas dan tegas dalam sanggahan keperluan ratikasi ICERD ini. Kebersamaan suara mufti serta agamawan yang berpengaruh mampu mewujudkan gelombang perjuangan yang kuat dalam mempertahankan hak istimewa sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan sejak sekian lama lebih 50 tahun ini.
 
Jangan kerana kerakusan kuasa, ada pihak yang tunduk sehingga sanggup menggadaikan hak istimewa Melayu dan Raja-raja sedangkan catatan sejarah jelas bagaimana Rantau Melayu ini subur dengan kedatangan Islam yang hadir. Bukan sekadar rakyat biasa, malah Raja-raja turut menjadi simbol keutuhan kekuasaan Islam di rantau Melayu ini.
 
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
 
MUHAMMAD HANIF JAMALUDDIN
Ketua Operasi 
Sekretariat Save Ummah
Dewan Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 12/11/2018
- Advertisement -