Ramai lagi akan sertai PPBM: “Selamat berjaya”

- Advertisement -

SAYA ditanya berhubung kenyataan Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini bahawa ramai lagi veteran Umno akan menyertai PPBM. Menurut beliau, kebanyakan yang akan menyertai PPBM ini ialah dari Johor, Kelantan dan Kedah. 

- Advertisement -

Saya ingin mengingatkan Tan Sri kepada kenyataan Perdana Menteri sendiri pada 16 Mei 2018 seperti yang tersiar di dalam laman web Malaysiakini.com bahawa Pakatan Harapan tidak akan menerima anggota daripada parti yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Kenyataan tersebut juga disiarkan oleh laman web Astro Awani pada tarikh yang sama.

Bagaimanapun, dengan situasi pada hari ini di mana PPBM telah menerima penghijrahan beramai-ramai pemimpin Umno termasuk yang berstatus ahli Parlimen, saya kira kenyataan Perdana Menteri itu telah termansuh dengan sendiri.

Cuma saya ingin ingatkan, adakah PPBM sudah bertanya pandangan DAP dalam hal ini memandangkan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai pada 28 Oktober 2018 yang lalu telah mengeluarkan kenyataan bahawa DAP tidak bersetuju dengan tindakan mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH), menerima Ahli Parlimen Umno yang mahu melompat parti. Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai mengulas tindakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai PPBM bulan lepas.

Justeru, apabila Tan Sri Rais Yatim mendakwa bahawa ramai lagi bekas pemimpin Umno akan setai PPBM, saya ucapkan selamat berjaya.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI,
Ahli Parlimen Pasir Mas.

12 November 2018 – HARAKAHDAILY 12/11/2018

- Advertisement -