Tahnik dan vaksin

- Advertisement -

TERDAPAT dakwaan bahawa amalan tahnik bayi itu meningkatkan sistem imun bayi. Secara umum saya bersetuju dengan kenyataan itu. Zat makanan berkhasiat yang terdapat dalam buah tamar secara umum boleh membantu badan bayi tersebut semakin sihat.

- Advertisement -

Begitu juga susu ibu yang diberikan mengandungi antibodi semula jadi kepada badan bayi secara umum. Susu Ibu mengandungi IgA, lisozim, antioksidan dan pelbagai bahan lain yang menjadi faktor pencegah kepada penyakit cirit dan penyakit saluran pernafasan terhadap bayi.

Namun tahnik adalah bukan pencegahan atau vaksin secara khusus bagi mencegah penyakit-penyakit berjangkit berbahaya seperti tuberkulosis, difteria, pertusis, campak, polio dan lain-lain. Tambahan pula tamar yang diberikan itu hanya bersifat sementara dan tiada unsur aktif yang boleh merangsang sistem pertahanan bayi secara khusus. Manfaat dan zat yang diperolehi daripada tamar tahnik tersebut hanya seketika.

Bahkan kajian mendapati paras antibodi umum yang diperolehi daripada susu ibu akan bertahan hanya beberapa minggu sahaja. Ianya berbeza dengan pemberian vaksin yang diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Vaksin-vaksin yang disuntik kepada anak-anak kita itu sudah pun menjalani proses pembuktian dan selamat digunakan sejak sekian lama.

Adalah menjadi satu kefahaman yang salah jika kita hanya bergantung kepada tahnik dan susu ibu sahaja dalam ikhtiar mencegah penyakit-penyakit berjangkit. Mungkin terdapat dalam kalangan kita yang mendakwa, sebelum era vaksinasi di dunia ini, ramai sahaja manusia boleh hidup.

Saranan saya supaya golongan yang berkata demikian agar membaca sejarah dan ambillah iktibar daripada sejarah itu. Carilah melalui Google itu akan kisah pesakit polio yang terpaksa menggunakan ‘iron lung’ (foto atas) sekitar tahun 1920 dahulu kala. Penderitaan daripada serangan kuman polio menyebabkan rangka paru-paru mangsa tidak dapat berfungsi sehinggakan terpaksa menggunakan kebuk paru-paru khas.

Hasil daripada kejayaan pemberian vaksin polio, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan Malaysia sudah bebas daripada penyakit polio tahun 2000. Ini adalah satu kejayaan yang tidak boleh dinafikan lagi.

Begitu juga dengan penyakit-penyakit bawaan kuman lain lagi yang berbahaya, kejadiannya turun secara mendadak setelah pemberian vaksin secara menyeluruh dalam negara. Jumlah kematian sebelum era vaksinasi ratusan ribu, dan kini selepas era vasksinasi, kejadian penyakit dan kematian boleh dibilang dengan jari. – HARAKAHDAILY 11/11/2018

- Advertisement -