Isu PTPTN: Ubah mentaliti, mansuh Akta berkaitan

khairil
- Advertisement -
KERAJAAN PH dinasihat supaya mengubah ‘mentaliti’ dan memansuhkan semua dasar yang tidak memacu potensi dan keupayaan golongan terpelajar atau graduan di negara ini. Golongan tersebut seharusnya dilihat dengan ‘harapan’ yang merupakan aset, sekali gus dipersiapkan untuk menjadi pewaris pencorak kegemilangan masa depan negara.
 
Malangnya selama ini, pengenalan Akta Pengajian Tinggi Swasta dan Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara, telah membantut dan menghambakan golongan tersebut. Kesannya sekarang, rata-rata graduan memikul hutang pengajian (PTPTN) yang bukan sahaja menjadi bebanan individu, malah juga terhadap negara.
 
Daripada kerajaan menagih dan memeras secupak hutang daripada mereka, lebih untung diupaya atau digembleng kemampuan dimiliki golongan ini untuk pertumbuhan dan pembangunan negara. Bebaskan mereka dengan melupuskan hutang tersebut, serta perkasakan semula danasiswa dan biasiswa, seterusnya menuju kepada pendidikan percuma.
 
Ini ‘pelaburan’ yang pasti tidak akan rugi, malah sejarah menyaksikan ketika Malaysia mula dibangunkan, seperempat Belanjawan tahunan negara diperuntukkan untuk bidang pendidikan. Tetapi setelah itu dikuncupkan oleh mentaliti kapitalis yang menjebaknya ke kancah industri liberalisasi pendidikan. Maka super kayalah para kroni, yang melaratnya rakyat.
 
Akibat hutang PTPTN, ramai graduan tersepit untuk pergi lebih maju dalam kerjaya dan upaya. Mereka tidak boleh meminjam, keluar negara, memiliki aset seperti rumah, hatta kenderaan pun. Kesannya produktiviti daripada golongan ini tidak terhasil dengan sewajarnya, maka ia tidak menjana perolehan untuk negara, sebaliknya sekadar memenuhi keperluan sendiri.
 
Maka amat penting ‘kesungguhan politik’ Kerajaan Malaysia Baharu untuk memecah kebuntuan dan melenyapkan terus kesilapan lampau. Bangunkan kuasa kemampuan sara hidup para graduan ini (dan juga rakyat seluruhnya), insyaAllah putaran dan rangsangan pertumbuhan ekonomi itu akan mengalir semula manfaatnya kepada negara.
 
Hakikatnya, hampir RM50 bilion yang telah dihutangkan selama 20 tahun oleh PTPTN itu bersumberkan daripada wang tabungan rakyat juga. Ia telah memewahkan sekroni kecil, tetapi menderitakan rakyat terbanyak. Bahkan, untuk menghalal lupuskan RM8 bilion hutang tertunggak, (termasuk RM4.2 bilion daripada 663,000 graduan yang sedang diburu dan disenaraihitam); jauh lebih kecil dari ketirisan yang berlaku dalam akaun kerajaan.
 
Kami sungguh-sungguh menyeru, agar pihak kerajaan mewujudkan Perbadanan Wakaf Pendidikan Negara sebagai antara usaha menangani keperluan kewangan di sektor ini. Terbukti di beberapa universiti terkemuka dunia seperti Al-Azhar, Mesir dan Harvard, United Kingdom serta di Arab Saudi dan Amerika Syarikat kemampuan perolehan dana wakaf berjumlah USD ratusan bilion setahun.
 
Kami juga bersedia untuk berdialog, memberi pandangan dan mengemukakan kertas pelaksanaan yang lebih terperinci agar masalah dinyatakan dapat ditangani, seterusnya mengaplikasikan lontaran idea berkaitan. Kami percaya, pendidikan adalah saham terpenting untuk semua pihak mencapai keunggulan dan cita-cita yang dihasratkan.
 
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
 
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 11/11/2018
- Advertisement -