Ratifikasi ICERD tak jejas perlembagaan?

ic4
- Advertisement -

SAYA membaca ulasan media dari Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Proguam), Noorazmir Zakaria yang diterbitkan di Sinar Harian hari ini bertajuk “Ratifikasi ICERD Tidak Jejas Perlembagaan”. Pada awalnya, saya menjangkakan beliau akan mengulas perkara-perkara yang yang terkandung di dalam ICERD adalah selaras dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan, justeru tiada masalah jika ia diratifikasi dan diguna pakai dalam negara kita.

- Advertisement -

Namun saya kecewa apabila beliau hanya memfokuskan pindaan perlembagaan tidak akan berlaku kerana tidak mempunyai korum yang cukup di Dewan Rakyat. Saya tertanya sekiranya dalam pilihanraya akan datang, 2/3 dari Ahli Parlimen yang dipilih adalah mereka yang bersetuju dengan ICERD, dan pada masa itu ia telah diratifikasi. Adakah beliau akan terus menggunakan alasan ini?

Hakikatnya, ICERD adalah secara jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Mukadimah ICERD sendiri menyatakan salah satu matlamat ICERD digubal adalah:

“Considering that all human beings are equal before the law and are entitled to equal protection of the law against any discrimination and against any incitement to discrimination.”

“Convinced that any doctrine of superiority based on racial differentiation is scientifically false, morally condemnable, socially unjust and dangerous, and that there is no justification for racial discrimination, in theory or in practice, anywhere.”

Ini bermaksud ICERD mengiktiraf semua bangsa di dunia adalah sama rata, tiada satu bangsa yang lebih dari bangsa lain, dan menolak sebarang bentuk ketuanan bangsa atau racial superiority dalam apa-apa jua bentuk, samada secara teori mahupun praktikal. Sedangkan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri meletakkan Melayu dan Bumiputera lebih istimewa berbanding bangsa lain, berdasarkan ketuanan bangsa dan bercanggah dengan prinsip kesamarataan. Contoh Perkara 8(5)(f), 89 dan 153 bertentangan dengan prinsip kesamarataan, manakala Perkara 38 mengenai konsep Raja-Raja Melayu dan peruntukan Menteri Besar mestilah seorang Melayu Islam dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri Melayu adalah satu konsep ketuanan bangsa.

Sekiranya ICERD diratifikasi dengan pengecualian atau reservation supaya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, apa guna kita meratifikasi suatu konvensyen antarabangsa sedangkan kita sendiri tidak mahu mengikut matlamat asal konvensyen tersebut?

Menurut artikel yang ditulis oleh peguam terpelajar Yusfarizal Yusoff, ada lebih kurang 10 pengecualian yang perlu dibuat sekiranya ICERD ingin diratifikasi tanpa meminda Perlembagaan. Malaysia akan jadi negara yang paling banyak membuat pengecualian untuk ICERD. Seolah kita masuk satu perjanjian, tapi hampir separuh darinya kita tak nak ikut. Jadi apa guna kita ratifikasi?

Perlu diingatkan bahawa negara lain juga boleh membuat bantahan untuk pengecualian sekiranya ia melanggar matlamat asal ICERD. Arab Saudi sendiri dibantah oleh Austria, Finland, Germany, Norway, Spain dan Sweden apabila membuat pengecualian untuk ratifikasi ICERD selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam. Adakah pengecualian kita tidak akan dibantah oleh negara lain?

Kebimbangan kita juga adalah sekiranya ratifikasi ICERD tanpa mengikut matlamat asal ia digubal ini dijadikan alasan untuk Perlembagaan dipinda di masa akan datang. Mungkin bukan hari ini, mungkin selepas pilihanraya akan datang, mungkin juga 10-20 tahun lagi. Yang pasti komposisi Dewan Rakyat hari ini bukan kekal selamanya. Boleh jadi sewaktu ia dipinda nanti, korum ahli Dewan Rakyat yang bersetuju untuk ia dipinda berjaya dicapai. Pada ketika itu, apa yang mampu kita lakukan?

Adakah anda mengharapkan mereka yang bermain escapism ini akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dari dipinda, sedangkan hari ini pun mereka tidak mampu bersuara apabila Perlembagaan dicabar?

Maka jawapan yang jelas, jangan ratifikasi ICERD!

Nazrul Nazir
Projek Anak Muda Islam (PAMI) – HARAKAHDAILY 10/11/2018

- Advertisement -