Bantu Petronas, jangan ambil hasil sahaja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membantu Petronas atas kebergantungan negara kepada peranan syarikat itu dalam memberikan hasil dari janaan industri minyak, di mana pada Belanjawan 2019 menyaksikan RM30 bilion diambil sebagai dividen khas.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, walaupun sememangnya hak kerajaan untuk menggunakan pendapatan dari kantung Petronas, namun permasalahan dihadapi perlu diselesaikan terutama yang berlaku antara syarikat itu dengan Kerajaan Negeri Sarawak.

Begitu juga menurutnya, mengenai kontroversi berhubung subsidi bahan bakar kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang menyebabkan Petronas mengalami kerugian, di mana kerajaan dituntut memastikan keadilan berlaku terhadap syarikat milik negara itu.

Ir Khairil turut menekan soal kebajikan para pekerja Petronas yang perlu diperhalusi terutama aspek gaji lebih rendah berbanding tenaga kerja sama di syarikat lain dan agar dilihat selari dengan pasaran antarabangsa.

“Sebab pengalaman saya bersama Petronas, kalau dibandingkan dengan gaji kawan-kawan PSC (Production Sharing Contract) lain ‘definitely‘, gaji kawan PSC lebih tinggi. Sedangkan, jurutera, juruteknik ataupun semua pentadbir dalam Petronas ini bekerja loyal kepada country.

“Mereka memastikan rakyat menikmati benefit oil and gas yang kita explore dalam negara Malaysia,” kemukanya pada program Teh Tarik For Malaysia di Pejabat Pemuda PAS Negeri Selangor, Gombak, semalam.

Tegas beliau, penyelesaian masalah atau isu dihadapi Petronas memerlukan ‘political will‘ dari pimpinan negara ke arah menanganinya hak setiap pihak dan bukan tindakan yang semata-mata bersifat popular.

Jurutera muda itu turut mengingatkan kerajaan terhadap risiko sangat tinggi diletakkan pada hasil cukai RM24 bilion yang diprojekkan dalam Belanjawan 2019 dengan jangkaan kadar harga minyak USD72 setong.

“Sedangkan, tahun 2018, harga minyak setong dijangka pada nilai USD55 setong. Kalau ditakdirkan jatuh (berbanding USD72), maka pendapatan negara melalui minyak RM24 bilion yang disasarkan itu akan semakin kurang.

“Bila berlaku pengurangan, sekiranya tidak ada penjimatan sudut pengurusan atau pembangunan, akan menyebabkan defisit fiskal lebih melebar. Kita target defisit fiskal pada 3.4 peratus, akan meningkat kerana pendapatan berkurang,” jelasnya.

Terang beliau, prinsip fiskal negara menekankan tiga aspek asas melibatkan pertumbuhan ekonomi, kawalan inflasi dan mengurangkan pengangguran ke arah memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Namun bidasnya, Belanjawan 2019 oleh Kerajaan PH masih memperlihatkan pengurusan ekonomi menggunakan ‘sistem lama’ di mana usaha meninggikan pendapatan negara dan mengawal defisit fiskal masih jauh untuk dicapai.

Tegasnya, sasaran tersebut bukan sahaja penting dicapai untuk kesejahteraan negara, tetapi perbelanjaan seimbang juga penting untuk meningkatkan keyakinan negara di mata dunia dan membolehkan tarikan lebih ramai pelabur. – HARAKAHDAILY 9/11/2018

- Advertisement -