Bajet 2019: Siapa untung, siapa melopong?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun Belanjawan 2018 disebut sebagai ‘gula-gula PRU14’ menerusi RM280 bilion dibentangkan, tetapi Belanjawan 2019 oleh Kerajaan PH menyaksikan jumlah lebih besar iaitu RM314 bilion.

- Advertisement -

Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata, jumlah tersebut bermakna peningkatan 12 peratus berbanding sebelumnya, tetapi ketika sama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut mengunjurkan kenaikan 1.1 peratus hutang negara.

“Dikatakan perbelanjaan besar ini untuk membayar hutang-hutang negara. Tapi pada masa sama Belanjawan 2019 diunjurkan bahawa hutang akan meningkat lagi,” pertikainya pada program Teh Tarik For Malaysia di Pejabat Pemuda PAS Negeri Selangor, Gombak, semalam.

Malah bidasnya, Menteri itu juga yang asyik memomokkan kepada rakyat bahawa hutang negara adalah RM1 trilion, sedangkan angka sebenar adalah RM687 bilion, kerana selebihnya merupakan jaminan.

Shahir juga menjelaskan mengenai Belanjawan PH itu tidak ada bezanya dengan zaman BN apabila jumlah peningkatan sebanyak RM34 bilion itu masih melibatkan kos pengurusan yang tinggi iaitu 83 peratus berbanding 84 peratus pada 2018.

Sedangkan kos pembangunan menurutnya, masih rendah iaitu 17 peratus berbanding 16 peratus pada Belanjawan tahun sebelumnya, sedangkan jumlah keseluruhan peningkatan itu merupakan angka yang mendadak.

Mewahkan Sekolah Cina?

Dalam kupasannya itu, Shahir turut mempersoalkan kewajaran memberi peruntukan sebanyakan RM12 juta kepada Sekolah Persendirian Cina yang sejak zaman penjajah tidak pernah mengikuti Dasar Pendidikan Negara (DPN).

“DPN adalah untuk mempunyai silibus yang sama, bahasa pengantar dan peperiksaan yang sama. Jadi, (keengganan ini) merupakan simbol perpecahan kepada perpaduan Malaysia,” kesali beliau.

Jelasnya, Sekolah Persendirian Cina di negara ini kebanyakannya tidak berada di bawah Kementerian Pendidikan sebaliknya diselia oleh Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong).

Bahkan katanya, mereka menggunakan silibus Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) daripada negara Taiwan dan menjadikan sekolah-sekolah tersebut terasing langsung daripada sistem pendidikan negara ini.

Potong Bajet Pendidikan

Paling dikesali Shahir, pembentangan Guan Eng untuk Belanjawan 2019 itu menyaksikan peruntukan untuk Kementerian Pendidikan, termasuk juga biasiswa JPA dan MARA untuk universiti masing-masing dikurangkan sebanyak RM500 juta.

Walhal tekannya, pendidikan adalah nadi rakyat di mana pengurangan tersebut juga dikenakan ke atas peruntukan makanan sekolah berasrama yang dipotong RM100 juta dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid miskin disusutkan RM10 juta.

Ketika sama pertikainya, kerajaan memperuntukkan RM10 juta pula bagi E-Games iaitu bagi tujuan pertandingan permainan elektronik yang tidak jelas keperluan dan manfaatnya.

PTPTN: Graduan tertipu

Shahir turut membidas mengenai potongan antara 2 hingga 15 peratus daripada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bergaji RM1,000, sedangkan janji Manifesto PH penangguhannya hingga peminjam bergaji RM4,000.

Beliau turut menyifatkan potongan antara sekurang-kurangnya RM20 hingga RM150 bagi graduan berpendapatan RM1,000 itu merupakan satu bebanan kerana gaji minimum pula hanya ditetapkan pada RM1,100. – HARAKAHDAILY 9/11/2018

- Advertisement -