Bajet 2019 kekalkan pertanian di ‘kelas ketiga’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 oleh Kerajaan PH dilihat tidak memberi perhatian terhadap nasib golongan petani, penoreh, pesawah, nelayan dan penternak yang menggerakkan peranan penting pengeluaran keperluan makanan dalam negara.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, kerajaan seharusnya melakukan ‘pelaburan’ sewajarnya ke atas golongan itu sebagaimana diperuntukkan kepada sasaran lain yang dikategorikan menyumbang kepada negara.

Tegasnya, sepertimana para atlit negara disediakan RM100 juta sebagai inisiatif dalam sumbangan sukan, golongan pengawal rantaian makanan juga perlu diberi ‘tempat’ terbaik dalam masyarakat atas peranan dijaya usahakan mereka.

Perkara tersebut dikemukakannya dalam perbincangan Belanjawan 2019 pada program Teh Tarik For Malaysia di Pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor di Gombak, semalam.

Beliau mempersoalkan potongan besar peruntukan sehingga 75 peratus kepada nelayan yakni daripada RM262 juta kepada hanya RM98.5 juta dan pesawah sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM593 juta kepada RM281.5 juta.

Menurutnya, hal itu akan terus meletakkan golongan tersebut menjadi rakyat kelas ketiga di negara ini, sedangkan di negara seperti Jepun dan United Kingdom, golongan demikian merupakan jutawan kerana mengawal rantaian makanan.

Kekesalan sama turut disuarakan Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berikutan tiada peruntukan Bantuan Musim Tengkujuh untuk para penoreh berbanding RM261 juta pada Belanjawan 2018 dahulu, selain pengurangan RM2.3 juta kepada Kementerian Luar Bandar.

Pertikainya, Belanjawan 2019 bukan sahaja tidak seimbang peruntukannya untuk keperluan luar bandar dan rakyat miskin serta golongan di sektor pertanian, malah beberapa peruntukan dan subsidi juga ditiadakan atau dipotong.

Hal tersebut ujarnya, akan menyebabkan bertambahnya kesengsaraan golongan tersebut, menjadikan mereka umpama “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, sekali gus akan menyaksikan ketidakseimbangan dan jurang sosioekonomi dalam kalangan rakyat negara ini akan terus berlaku. – HARAKAHDAILY 9/11/2018

- Advertisement -