Takziah: Bendahari DUP Kedah meninggal dunia

ulama
- Advertisement -

SUNGAI PETANI: PAS Kedah melahirkan rasa dukacita di atas pemergian Bendahari Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah, Ustaz Yusuf Awang, petang tadi.

- Advertisement -

Bercakap ketika dihubungi Harakahdaily, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, ketika pemimpin dan ahli-ahli parti PAS khususnya di Kedah masih bersedih kehilangan Ketua Dewan Ulamak baru-baru ini, sekali lagi parti itu diuji dengan kehilangan sebutir lagi mutiara yang berharga.

“PAS Kedah kehilangan seorang ulama muda yang banyak memberi sumbangan kepada dakwah Islam termasuk penglibatannya di institusi pendidikan,” ujar beliau sedih.

Justeru itu, beliau mengharapkan agar isteri, anak-anak dan keluarga allahyarham bersabar dan menerima ketentuan Allah ini dengan hati yang lapang.

Ustaz Yusuf Awang, 47, merupakan aktivis PAS yang melibatkan diri di dalam parti berkenaan sejak di usia muda.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda PAS Kawasan Sungai Petani, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Sungai Petani dan diberi amanah sebagai Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Kedah sebelum ini.

Beliau yang mengadu sakit pada petang tadi sebelum bergegas ke Hospital Metro, Sungai Petani, namun menghembus nafas terakhir sebaik sahaja tiba di sana.

Jenazah beliau akan disemadikan di MATIN, Perlis sebaik sahaja selesai urusan-urusan berkaitan.

Beliau meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

Allahyarham juga diberi amanah dan kepercayaan sebagai Timbalan Pengetua Sekolah Agama Darul Hadis, Tok Keling, Alor Setar dan bergiat aktif dengan program-program anjuran PAKSI. – HARAKAHDAILY 6/11/2018

- Advertisement -