Ratifikasi ICERD jejas keharmonian negara

- Advertisement -

BERLATARBELAKANGKAN satu sejarah yang panjang, Malaysia pada hari ini berjaya dibina dengan satu identiti yang unik iaitu masyarakat majmuk yang hidup secara harmoni. Kepelbagaian kaum menjadi satu identiti yang istimewa buat rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Di bawah naungan Perlembagaan Malaysia dan lafaz ikrar Rukun Negara, setiap rakyat Malaysia bertangungjawab menjaga keamanan dan kehormatan negara. Sebarang bentuk unsur yang boleh meretakkan hubungan antara kaum perlu dijauhi.

Ratifikasi ICERD

Kenyataan P Waytamoorthy, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada suku pertama tahun depan adalah kenyataan yang boleh menimbulkan huru hara dan kemarahan umat Islam dan Bangsa Melayu di negara ini.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 jelas menyatakan agama Islam sebagai agama Persekutuan manakala Artikel 153 pula memberi kedudukan istimewa kepada orang Melayu dan penduduk asal di negara ini adalah jelas bertentangan dengan tujuan ratifikasi ICERD ini.

Ratifikasi ICERD ini bertujuan untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi kaum (racial discrimination). Racial discrimination ini didefinisikan sebagai ‘any distinction, exclusion, restriction or preference based on race, colour, descent, or national or ethnic origin which has the purpose or effect of nullifying or impairing the recognition, enjoyment or exercise, on an equal footing, of human rights and fundamental freedoms in the political, economic, social, cultural or any other field of public life.’

Dengan kata lain, ratifikasi konvensyen ini akan membawa kepada penghapusan kedudukan istemewa orang Melayu dan penduduk asal. Ratifikasi ini juga boleh mengakibatkan Perlembagaan Malaysia perlu dipinda dan Perkara 153 perlu dimansuhkan.

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyambut baik cadangan YAB PM, Dr Mahathir untuk meninjau semula isu ratifikasi bersama setiap kaum. DMPM berharap perbincangan yang akan dilakukan bersifat adil dan matang serta melihat segenap konsep bagi memelihara kerukunan masyarakat Malaysia.

Justeru itu, DMPM dengan tegas menolak ratifikasi Konvensyen ICERD ini dan berharap kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini lebih berhati-hati dalam membuat tindakan.

Wan Hasrina Wan Hassan
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 3/11/2018

- Advertisement -