Bajet baharu, terbesar dalam sejarah

- Advertisement -

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.” (Al-Isra’: 30)

- Advertisement -

Bajet terbesar

Bajet 2019 yang julung kali dibentangkan oleh Pakatan Harapan merupakan bajet terbesar dalam sejarah, jauh melebihi ‘bajet pilihan raya’ oleh Barisan Nasional bagi tahun 2018.

Sejumlah RM314 bilion diperuntukkan untuk kerajaan berbelanja pada tahun hadapan, meningkat 12% berbanding anggaran RM280 bilion bagi tahun 2018.

Daripada jumlah tersebut, RM259 bilion akan dibelanjakan untuk tujuan mengurus, iaitu bagi membayar gaji dan pencen, bayaran khidmat hutang, perbekalan dan subsidi kepada rakyat.

Manakala untuk tujuan pembangunan, sejumlah RM55 bilion akan dibelanjakan ke dalam sektor ekonomi, sosial, keselamatan dan pentadbiran, bagi membawa limpahan ekonomi yang lebih besar kepada negara.

Untuk menampung perbelanjaan yang besar ini, kerajaan mengunjurkan kutipan hasil berjumlah RM261 bilion pada tahun 2018, disumbangkan oleh pungutan cukai langsung dan tidak langsung, serta dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion yang akan digunakan untuk melunaskan tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan berjumlah RM37 bilion.

Natijahnya, kerajaan dijangka akan menanggung defisit mencecah RM52 bilion pada tahun 2019, atau 3.4% kepada KDNK.

Penilaian makro

Di sebalik angka besar yang dimuatkan di dalam Bajet 2019, terdapat beberapa aspek makro ekonomi yang perlu diberikan perhatian.

Pertama, bajet RM314 bilion ini merupakan rekod tertinggi perbelanjaan kerajaan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, malah melebihi peruntukan ‘bajet pilihan raya’ oleh Barisan Nasional yang digelar sebagai ‘ibu segala bajet’.

Kedua, kerajaan Pakatan Harapan masih meneruskan tren perbelanjaan mengurus yang besar iaitu 82% daripada keseluruhan bajet. Manakala perbelanjaan pembangunan mencatatkan nisbah 17% daripada keseluruhan bajet, suatu nisbah yang sama seperti Bajet 2018.

Ketiga, jumlah perbelanjaan mengurus sudah menghampiri jumlah hasil kerajaan pada paras 99%. Ini bermakna, setiap hasil yang dipungut kerajaan hanya cukup untuk menampung kos pengurusan kerajaan, dan situasi ini adalah berisiko terhadap keupayaan fiskal sekiranya terdapat kenaikan kos di luar jangkaan atau kutipan cukai jauh lebih rendah daripada yang dianggarkan.

Sejauh mana Bajet 2019 ini mampu memacu pertumbuhan ekonomi, menurunkan kadar inflasi dan mengurangkan kadar pengangguran, masih terlalu samar untuk dinilai kesudahannya.

Komitmen tadbir urus

Bajet yang julung kali dibentangkan oleh Pakatan Harapan ini dilihat berada di garis permulaan yang baik, khususnya dalam aspek peningkatan tadbir urus yang selama ini menyumbang kepada deficit berkembar dalam negara iaitu, defisit bajet (fiscal deficit) dan defisit kepercayaan (trust deficit).

Komitmen yang diberikan oleh kerajaan dalam membasmi rasuah dan meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran adalah perkara asasi yang perlu dibudayakan, bermula daripada kehendak politik (political will) yang ditunjukkan oleh pemimpin atasan.

Inilah rahsia kejayaan pentadbiran PAS di Kelantan sejak tahun 1990 hingga sekarang, yang ditunjukkan dengan ketinggian integriti oleh Menteri Besar, barisan Exco dan Adun, serta jentera pentadbiran di peringkat pertengahan, walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran.

Usaha membasmi rasuah dan meningkatkan integriti ini memerlukan komitmen dan kejujuran semua pihak. Ianya tidak cukup dengan ungkapan retorik dan nada sinis ketika pembentangan bajet di Parlimen, tetapi perlu diterjemahkan dalam aspek ketelusan oleh mereka yang kini berkuasa untuk meluluskan dan mengagihkan tender besar kerajaan.

Sejauh mana menteri baharu tidak akan mengulangi budaya menteri lama, hanya waktu yang akan menentukan.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
3 November 2018 – HARAKAHDAILY 3/11/2018

- Advertisement -