Larangan plastik: Tahniah Kerajaan Terengganu

- Advertisement -

LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS) ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas terhadap Kerajaan Negeri Terengganu khususnya terhadap Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak kerana sedia melaksanakan larangan penggunaan beg plastik bermula tahun depan di negeri itu.

- Advertisement -

Keputusan yang diambil kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS sangat-sangat dialukan kerana sehingga hari ini pencemaran sisa plastik di seluruh dunia sangat membimbangkan.

Dianggarkan terdapat hampir 300 juta tan sisa plastik yang terdapat di seluruh dunia di mana 8 hingga 9 juta tan sisa plastik sudah bertebaran di lautan sehingga menyebabkan hampir 100,000 hidupan marin yang mati setiap tahun serta hampir 1 juta burung laut yang mati akibat terdedah kepada sisa ini di lautan.

Langkah bijak yang diambil kerajaan negeri juga sudah pasti akan membantu usaha pemuliharaan dan pembiakan penyu di Negeri itu kerana sisa plastik adalah salah satu sebab utama yang menyebabkan kematian ribuan binatang itu setiap tahun di seluruh dunia.

Tidak ketinggalan juga, larangan penggunaan plastik akan dapat melindungi ancaman sisa itu terhadap hasil pendapatan nelayan di negeri itu.

Semoga keputusan ini dapat juga membantu usaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam menguruskan sisa domestik dan pada masa yang sama dapat mengurangkan kos pengurusan sampah di peringkat negeri. Dan langkah penjimatan itu akhirnya dapat disalurkan kembali kepada rakyat.

Tahniah Kerajaan Negeri dan Rakyat Terengganu.

Muhammad Sanusi Md Nor
Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS)
1 November 2018 – HARAKAHDAILY 1/11/2018

- Advertisement -