Gay dan ICERD: Kebatilan disebalik kalimah haq

- Advertisement -

كلمة حق يراد بها الباطل

- Advertisement -

“Kalimah yang benar, tetapi dikehendaki disebaliknya adalah kebatilan”

Inilah ungkapan Saidina Ali ketika tentera Muawiyah menjulang al-Quran yang diletakkan di mata tombak, meminta perdamaian dan rundingan selepas hampir kalah dalam peperangan Siffin. Saidina Ali tahu bahawa ianya hanya satu helah untuk menukar strategi. Namun atas desakan umat Islam yang tidak sanggup melihat perbalahan sesama Islam, Saidina Ali akur.

Akhirnya apa yang dibimbangi Saidina Ali berlaku jua. Peristiwa tahkim dijadikan helah bagi menafikan kuasa Saidina Ali sebagai khalifah yang sah. Dan berlakulah apa yang berlaku.

Ada juga riwayat yang mengatakan, Saidina Ali melafazkan kalimah tersebut sebagai respon kepada laungan Khawarij:

إن الحكم إلا لله

“Tiada keputusan melainkan bagi Allah”

Khawarij menolak tahkim atas alasan ianya ibarat mengambil kerja tuhan.

Apa yang ingin disampaikan dari kisah ini adalah bagaimana manipulasi kebenaran dilakukan bagi mencapai kebatilan. Menggunakan sesuatu yang secara zahirnya betul, tetapi di belakangnya adalah perancangan rapi bagi menjayakan satu tujuan yang batil. Itulah modus operandi yang sering diulang golongan yang berniat jahat sepanjang Islam.

Fiqh Maalat atau Sadd Zarai’

Bagi menghadapi bahaya ini, ulamak memperkenalkan satu sumber hukum far’iy (sampingan) yang dicedok melalui kefahaman (fiqh) terhadap nas, dikenali sebagai Sadd Zarai’ ataupun Fiqh Maalat. Sadd Zarai‘ adalah perubahan sesuatu hukum daripada hukum asal bagi mengelakkan mafsadah berlaku.

Contohnya hukum menjual pisau atau pedang. Pada asasnya hukumnya harus. Tetapi apabila menjualnya di saat dua saudara sedang bergaduh dan dikhuatiri alatan tersebut digunakan bagi tujuan mencederakan atau membunuh, maka hukum boleh berubah kepada haram.

Contoh yang lain adalah menjual anggur. Asasnya ia adalah harus. Tetapi menjual kepada seorang yang memang dikenali sebagai pembuat arak, maka hukumnya adalah haram.

Aplikasi fiqh ini pernah digunakan oleh Mufti Palestin ketika umat Islam di sana ditawarkan harga yang tinggi oleh Yahudi bagi membeli tanah. Mufti tersebut mengeluarkan fatwa bahawa haram menjual tanah ketika itu kepada Yahudi, walaupun hukum asal berjual beli dengan Yahudi adalah harus.

Namun ramai umat Islam tidak mempedulikannya. Akhirnya setelah Yahudi berjaya memiliki sebilangan tanah Palestin, mereka menuntut penubuhan negara sendiri. Lalu terbentuklah Israel pada tahun 1948 di atas tanah air Palestin.

Agamawan sebagai agen normalisasi

Dewasa ini, modus operandi kebatilan di sebalik kalimah haq digunakan berleluasa ke atas seluruh umat Islam dunia. Baik dalam bidang politik, perundangan, ekonomi, sosial, pendidikan, pentadbiran, perubatan dan berbagai lagi. Agamawan dijadikan boneka bagi mengharuskan tindakan mereka. Ada di kalangan agamawan yang memang bekerja bagi pihak musuh Islam secara sedar. Ada juga yang tidak sedar dibonekakan, akibat hanya faqih dalam silibus pengajian Islam sahaja, tetapi dangkal dalam selok belok politik, perundangan dan lain-lain yang tidak diajar di institusi atau fakulti pengajian Islam.

Terbaharu isu gay. Terdapat agamawan mendukung kenyataan bahawa bukan semua gay itu songsang. Secara zahir mungkin ada justifikasi yang boleh diberikan bagi membela kenyataan tersebut. Tetapi Fiqh Maalat perlu diaplikasikan dalam menangani isu ini. Lihat latar belakang orang yang berkata. Kaji pemikiran beliau melalui ucapan dan tulisannya sebelum ini. Lihat beliau bersama siapa, dan apa agenda sebenar mereka.

Selain gay, isu terkini juga adalah ICERD. Memang secara umum Islam tidak mendiskriminasi kaum. Tetapi perlu dikaji sejarah perbezaan sosioekonomi dan sosiopolitik kaum sejak negara ini ditinggalkan oleh penjajah. Kaji juga agenda besar kumpulan yang membawa polemik ini.

Saya pernah menulis beberapa bulan dahulu mengenai pelantikan bukan Islam sebagai pemimpin negara bertajuk “Normalilasi Lubang Biawak”. Modus operandi yang sama digunakan. 

Diheret ke lubang biawak

Modus operandi ini sangat halus dan sulit. Perlukan kepakaran mencerap yang bukan terhadap wahyu, tetapi juga terhadap situasi semasa.

Nabi sudah menggambarkan bagaimana taktik Yahudi supaya orang Islam mengikut telunjuk mereka. Mereka tak akan buat drastik, sebaliknya sedikit demi sedikit, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, perlahan, halus dan konsisten. Sehingga bila tiba saat mendedahkan agenda sebenar mereka, ia sudah terlambat untuk bertindak. Atau lebih parah, ia sudah tidak dianggap sebagai satu masalah. Ia strategi normalisasi yang ampuh untuk melekakan umat. Sabda Rasulullah S.A.W:

لَتَتّبِعُنّ سَنَنَ الّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ. شِبْراً بِشِبْرٍ، وَذِرَاعا بِذِرَاعٍ. حَتّىَ لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبَ لاَتّبَعْتُمُوهُمْ” قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللّهِ آلْيَهُودُ وَالنّصَارَىَ؟ قَالَ “فَمَنْ؟

“Kamu akan mengikut jalan orang yang terdahulu darimu. Sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hinggalah kalau mereka masuk ke lubang biawak, nescaya kamu akan turut masuk. Sahabat bertanya adakah mereka Yahudi dan Nasrani? Jawab Baginda: Siapa lagi kalau bukan mereka?”

[HR Bukhari & Muslim]

Nabi juga memberi amaran, jangan ikut agamawan sembarangan. Kerana akan muncul akhir zaman ini pendakwah yang menyeru manusia ke neraka. Zahirnya bermodalkan agama, tetapi di sebaliknya adalah agenda Iblis. Sabda Rasululullah S.A.W:

دُعَاة على أبواب جهنَّم، مَن أجابَهُم إليها قذَفُوه فيها

“Pendakwah yang menyeru manusia ke neraka. Sesiapa yang menyahut dakwah mereka akan dihumban di dalamnya.”

Lebih menakutkan, apabila Huzaifah bertanya Nabi apakah sifat-sifat pendakwah itu? Bagi menjawab:

هُمْ مِن جِلدَتِنا، ويتكلَّمون بألسِنتِنا

“Mereka dari kulit yang sama dengan kita. Berbicara dengan bahasa kita.”

[HR Bukhari]

24 Safar 1440
1 November 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 1/11/2018

 

- Advertisement -