PTPTN: Belum ada pelajar mengadu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menjelaskan sehingga sekarang belum ada lagi pelajar yang datang mengadu mengenai masalah pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dato’ Mohd Amar Abdullah.

- Advertisement -

“Sekiranya ada pelajar datang mengadu masalah itu saya akan minta mereka merujuk kepada Adun Air Lanas, Dato’ Seri Mustapa Mohamed sebagai wakil rakyat Pakatan Harapan di sini,” katanya pada persidangan Dun.

Beliau menjelaskan perkara itu sebagai menjawab soalan tambahan Rozi Muhamad (PAS-Tendong) mengenai ada pelajar mungkin rasa tertipu terhadap janji Pakatan Harapan ketika kempen Pilihan Raya Umum lepas.

Kata Rozi, ketika PRU lepas pemimpin PH menjanjikan mahu menangguh bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji bawah RM4,000 sebulan.

Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri mewujudkan tabung pendidikan peringkat negeri bagi membantu pelajar melanjut pelajaran.

Katanya, dana tabung itu diperolehi daripada syarikat-syarikat yang terbabit dengan industri perlombongan.

Katanya, kerajaan negeri menggalakkan syarikat yang mendapat kelulusan perlombongan memberi sumbangan kepada dana terbabit.

“Antaranya syarikat CNMC Goldmine Holdings Limited menghulur sumbangan sebanyak RM1 juta setahun kepada dana itu untuk membiayai pendidikan pelajar.

“Kalau kerajaan pusat boleh memberi royalti petroleum kepada Kelantan kita boleh buat lebih lagi daripada itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2018

- Advertisement -