Kelantan anggar royalti RM14 bilion

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap Petronas menjelaskan maklumat sebenar berapa jumlah royalti petroleum yang sepatutnya dibayar kepada Kelantan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, berdasar kepada maklumat yang dikumpul dan jawapan menteri di parlimen sepatutnya royalti diterima Kelantan sebanyak RM14 bilion.

Katanya, petroleum dan gas dikeluarkan di perairan Kelantan sejak 1982.

“Itu harta kita banyak yang ada pada Petronas. Kita hendak pinjaman RM90 juta dengan pusat itu sepatutnya tidak ada masalah.

“Oleh itu kita berharap Petronas memberi maklumat secara rasmi berapa royalti sejak petroleum dikeluarkan di perairan Kelantan bermula 1982 sehingga sekarang.

“Kalau dapat maklumat itu barulah kita dapat angka sebenar berapa duit kita diambil oleh pusat,” katanya pada persidangan Dun hari ini.

Menurutnya juga beliau terkilan dengan kenyataan menteri yang mengungkit kerajaan negeri memohon wang daripada kerajaan pusat, sedangkan duit Kelantan banyak dipegang pusat.

“Kalau kerajaan pusat jujur, banyak kita boleh selesai masalah pembangunan di Kelantan termasuk bekalan air bersih dan pengurusan sampah dan pelbagai lagi.

“Kita tuntut 5 peratus itu hak kita. Apa yang dijanji Pakatan Harapan 20 peratus itu hak mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/10/2018

- Advertisement -