GPHD: Perlu jamin tiada kesan berantai

- Advertisement -

KERAJAAN perlu menjamin serta memastikan tidak berlaku kenaikan harga dan jualan barangan kepenggunaan lain ekoran harga baharu perkhidmatan Gas Petronas Ke Rumah (GPHD) yang diumumkan semalam. Ini penting berikutan kesan berantai telah menjadi fenomena dan kerajaan terdahulu gagal menanganinya.

- Advertisement -

Rakyat tidak harus dikecewakan lagi dan hanya mendengar pengumuman rasmi mengenai kenaikan, seterusnya dihimpit bebanan kos sara hidup yang tidak pernah berkesudahan. Sedangkan mereka mengimpikan perubahan kerajaan dengan harapan untuk membela nasib akibat tekanan ekonomi sejak sekian lama.

Pengumuman tersebut juga menjadi satu lagi tamparan untuk PH yang hingga kini tidak mempunyai mekanisme dan penyelesaian komprehensif terhadap usaha berkaitan. Sedangkan, sebelum dan sepanjang kempen PRU14 termasuk janji Manifesto PH banyak memfokus dan menyentuh secara ekstrem soal isu ekonomi.

Menunjukkan bahawa rakyat telah dibohongi dan semua yang diutarakan PH adalah retorik semata-mata. Lebih malang, janji dan harapan kepada rakyat tidak tertunai, sebaliknya PH merombak banyak hal ehwal sosial lainnya. Malah, hingga menggugat keutuhan dan keharmonian asas-asas kaum, negara dan agama.

Malah, menjadi kerajaan juga adalah kesempatan buat pemimpin PH menggunakan kuasa untuk ‘mensucikan’ diri dari pertuduhan berkaitan, mengukuhkan cengkaman peribadi dan membalas dendam politik. Tiada halatuju dan iltizam untuk membantu rakyat yang dapat dilihat dan dijayakan dengan bersungguh-sungguh.

Sebaliknya, pelbagai alasan pula dikemukakan untuk menyelindungi kegagalan dan kemungkiran janji. Kini poket rakyat pula mungkin dirompak menerusi kenaikan harga barang yang rutinnya terjadi. Oleh itu kami menggesa tindakan yang memihak terhadap hak rakyat selaku pengguna.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 31/10/2018

- Advertisement -