Lantikan MPKK: Kerajaan PH bersandiwara lagi

- Advertisement -

SAYA bangun bertanya lewat malam tadi di Dewan Rakyat berhubung lantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang baru bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Mengikut komitmen asal Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada 29 Jun 2018, kerajaan melalui Kementerian telah menyerahkan segala urusan berkaitan pelantikan dan penamatan jawatan berkenaan kepada Kerajaan Negeri. Sudah tentu komitmen itu lahir dari kesungguhan untuk memastikan amalan federalisme dihormati tidak seperti apa yang diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

- Advertisement -

Namun jawapan dari Timbalan Menteri, Sivarasa Rasiah malam tadi cukup mengecewakan. Beliau menyatakan bahawa mesyuarat Kabinet telah memutuskan lantikan tambahan lima lagi anggota MPKK daripada Kerajaan Pusat di negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang walaupun makluman rasmi setakat ini sebelum ini kepada Kerajaan Negeri ialah Kerajaan Pusat menyerahkan sepenuhnya kuasa lantikan kepada Kerajaan Negeri.

Apakah tujuan pelantikan ini selain daripada mewujudkan sekali lagi ‘kerajaan dalam kerajaan’? Adakah ini merupakan kali terakhir pencerobohan amalan federalisme yang akan dilakukan dalam masa tempoh 5 tahun pentadbiran Pakatan Harapan ini. Saya kira tidak, sudah pasti desakan demi desakan daripada akar umbi mereka di negeri-negeri pembangkang ini akan terus memaksa Kerajaan membuat keputusan bagi memastikan jentera bawahan mereka di kampung-kampung boleh ‘cari makan’.

Sekali lagi amalan federalisme dicabul oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Benarlah, some promises can be broken. Atau lebih tepatnya, promises are made to be broken.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
31 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 31/10/2018

- Advertisement -