Malaysia dan federalisme fiskal (3)

- Advertisement -

SIRI 3: Peruntukan kewangan dalam Undang-undang Malaysia

- Advertisement -

Dalam suatu sistem federalisme fiskal, peruntukan kewangan adalah penting bagi melaksanakan tanggungjawab perbelanjaan dan kutipan hasil termasuklah keperluan pengagihan kuasa dan pengelakan pertindihan tanggungjawab fiskal di setiap peringkat Kerajaan. Sekalipun sistem perundangan Malaysia menzahirkan keutamaan diberi kepada Kerajaan Persekutuan, peruntukan kewangan kepada Kerajaan Negeri adalah tidak diabaikan.

1.3.1 Peruntukan bagi pemberian

Pemberian kerajaan merujuk kepada subsidi daripada satu unit Kerajaan kepada unit Kerajaan yang lain. Secara umum, alirannya dari peringkat tertinggi kepada yang lebih rendah. Disebabkan Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan terhad untuk mengutip lebih banyak hasil berbanding Kerajaan Persekutuan, kebergantungan kepada pemberian Persekutuan adalah signifikan untuk menampung bajet defisit negeri. Selain itu, pemberian Persekutuan juga adalah penting untuk mengurangkan jurang fiskal yang berlaku kesan ketidakseimbangan antara peringkat Kerajaan. Di sudut yang lain, pemberian bertujuan untuk memastikan kesetaraan dan kecekapan perbelanjaan bagi meningkatkan kuasa beli di peringkat Negeri.

Di Malaysia, pemberian kepada Kerajaan Negeri adalah berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang lain (bukan daripada Perlembagaan Persekutuan) dan kelulusan Majlis Kewangan Negara. Melalui sistem kewangan yang sedia ada, pemberian Persekutuan kepada Kerajaan Negeri diberikan mengikut tiga kategori utama iaitu:

1.     Pemberian Perkongsian Cukai (Tax-Sharing Grants);

2.     Pemberian Tujuan Umum (General Purpose Grants); dan

3.     Pemberian Tujuan Khusus (Specific Purpose Grants)

Pemberian Perkongsian Cukai memberikan kemanfaatan untuk membantu mengurangkan ketidakseimbangan menegak manakala Pemberian Tujuan Umum adalah penting untuk meningkatkan hasil Kerajaan Negeri selain bersifat memperbaiki jurang fiskal secara menegak. Pemberian Tujuan Khusus pula disediakan bagi mencapai objektif keseimbangan mendatar antara negeri yang mana penglibatan dan fungsi Kerajaan Persekutuan diharapkan dapat membantu Kerajaan-kerajaan Negeri bertanggungjawab kepada perbelanjaannya.

Penulisan oleh:
MUHAMAD ASYRAF SYAIRAZI SHO’AIB
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Johor
Kluster Undang-Undang JPro DPPM
Penolong Setiausaha PAS Kawasan Segamat – HARAKAHDAILY 30/10/2018

 

- Advertisement -