PAS sudah jangka Mustapa sertai Bersatu

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS sudah menjangka bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Mustapa Mohamed akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, penyerahan borang keahlian Bersatu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam ini tidak mengejutkan.

Beliau berkata, langkah tersebut dilakukan bagi menjaga kelangsungan politik Ahli Parlimen Jeli itu, walaupun perbuatan berkenaan lebih bersifat peribadi.

“Ini adalah kerana hubungan baik dia dengan Tun Mahathir dan Tun Daim, semua itu ada latar belakang dia, jadi kita alu-alukan tiada masalah bagi kita.

“Saya tidak mahu komen benda-benda lain khususnya hal peribadi, tetapi dari segi politik, itu hak masing-masing hendak masuk dalam parti mana yang dia suka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan perasmian Kota Bharu Fun Run 2018 sempena Hari Perancang Bandar Sedunia peringkat Kelantan di sini pagi tadi.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob itu disertai lebih kurang 700 peserta yang berlari sejauh 6.9 kilometer sekitar bandar.

Mohd Amar berkata, Isnin depan Dewan Undangan Negeri akan bersidang menjadi medan bagi Mustapa untuk berhadapan dengan rakan-rakannya dalam Umno.

“Dengan kita ini tiada masalah sebab Umno pun lawan kita, Bersatu pun lawan kita, jadi dalam Dun nanti dia terpaksa berhadapan dengan kawan-kawan dia dalam Umno.

“Itu yang lebih berat daripada berhadapan dengan kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/10/2018

- Advertisement -