Propaganda LGE burukkan Kelantan, PAS

khairuddinattakiri
- Advertisement -

PERMOHONAN pendahuluan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan adalah bridging loan yang bersifat pinjaman jangka pendek bagi mengatasi keperluan aliran tunai yang bersifat sementara sambil menunggu dana lain yang akan diperoleh.

- Advertisement -

Pinjaman ini dibuat selari dengan perutukan perlembagaan dan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memberikannya kepada Kelantan sesuai dengan semangat federalisme sekalipun Kelantan ditadbir oleh pembangkang di peringkat Persekutuan. Ia juga adalah amalan biasa bukan sahaja bagi Kelantan.

Lim Guan Eng tidak wajar bersandiwara, meletakkan Kerajaan Negeri Kelantan seolah-olah mengemis daripada Kerajaan Persekutuan sedang ia merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sebagai imbalan kepada segala cukai yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan daripada rakyat Kelantan.

Semangat federalisme yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapan Kajian Separuh Penggal RMK11 tidak wajar dikhianati oleh Menteri Kewangan menerusi sandiwara bertaraf kebudak-budakan.

Tidak timbul isu bahawa Kelantan secara kewangannya tidak mempunyai kemampuan untuk membayar gaji kepada kakitangannya sebagaimana dakwaan murahan Menteri Kewangan. Bahkan, prestasi pengurusan kewangan Kelantan boleh dikatakan adalah lebih baik berbanding negeri-negeri lain dan Kerajaan Persekutuan sendiri.

Kelantan dengan peningkatan pungutan hasil sebanyak RM566.52 juta pada 2017, hasil daripada proses pendaftaran tanah yang meningkat kepada RM44 juta atau 58% melebihi anggaran RM28 juta, berjimat sebanyak RM2.9 juta perbelanjaan mengurus dan surplus yang dianggarkan sebanyak RM38.76 juta menjadi bukti bahawa negeri yang telah ditadbir oleh PAS selama 28 tahun ini mempunyai kemampuan untuk menunaikan kewajipan terhadap kakitangannya.

Sebenarnya LGE masih belum sedar bahawa beliau bukan lagi pembangkang. Malah, sebenarnya LGE masih meneruskan strategi lapuknya memanipulasi fakta untuk melancarkan propaganda bagi memburuk-burukkan Kelantan kerana dendamnya yang mendalam terhadap PAS; strategi sama digunakan dalam isu hutang negara demi menutup kegagalan Pakatan Harapan menunaikan janji dalam Buku Harapan.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis, 25 Oktober 2018 | 16 Safar 1440 – HARAKAHDAILY 25/10/2018

- Advertisement -