Parlimen: YB ponteng berjemaah?

- Advertisement -

BERDASARKAN takwim Parlimen Malaysia, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang merupakan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Parlimen Keempat Belas, yang akan berlangsung selama 30 hari bermula pada 15 Oktober 2018.

- Advertisement -

Persidangan kali sebenarnya amat penting kerana dijadualkan YB Menteri Kewangan bakal membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2019 pada 2 November 2018.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia amat prihatin dengan beberapa gambar yang diambil pada sidang Parlimen yang menunjukkan ketidakhadiran yang amat serius, khususnya pihak Ahli Parlimen Kerajaan (Pakatan Harapan).

Isu ini sebenarnya telah dibangkitkan pada persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama di mana ramai wakil rakyat Pakatan Harapan hilang ketika persidangan, walaupun pertama kali memenangi pilihanraya dan memegang tampuk kuasa. Nampaknya ketidakhadiran wakil rakyat Pakatan Harapan di Dewan Rakyat masih berlaku dengan sewenang-wenangnya sehingga hari ini.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia amat terkejut dan terkesan dengan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff, yang menyifatkan ketidakhadiran Menteri dan Timbalan Menteri di Parlimen sebagai perkara biasa.

Rakyat disuap dengan dakyah “Malaysia Baru” selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya, namun kini kerajaan Pakatan Harapan dan Yang Dipertua Dewan Rakyat masih di takuk “Malaysia Lama”. Namun begitu, kita lihat perubahan positif kepada wakil rakyat blok pembangkang hari ini yang amat komited untuk hadir di sidang Parlimen dan aktif berbahas.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga menyanggah kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkata ketidakhadiran wakil rakyat bukan isu besar. Rakyat berpendapat Yang Berhormat Ahli Parlimen merupakan wakil suara rakyat di Parlimen.

Rakyat memberikan amanah kepada mereka untuk mewakili suara rakyat demi kepentingan rakyat dan negara. Dewan Rakyat merupakan tempat yang amat penting dan strategik untuk Yang Berhormat Ahli Parlimen menyuarakan suara dan aspirasi rakyat. Kalau selalu ponteng, bagaimanakah rakyat akan bersuara?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mencadangkan kepada wakil rakyat Gagasan Sejatera untuk mengusulkan Parlimen Malaysia agar menyediakan satu pengkalan data khas untuk merekod kehadiran Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kehadiran mereka seharusnya direkodkan untuk setiap mesyuarat. Mereka bekerja untuk rakyat, menggunakan duit cukai rakyat, dan berkhidmat untuk rakyat. Ini penting untuk mendisiplinkan wakil rakyat agar menjalankan amanah mereka. Jika pekerja yang selalu ponteng boleh dikenakan tindakan disiplin, mengapa tidak Ahli-Ahli Yang Berhormat yang selalu hilang semasa persidangan Dewan.

Demi Bangsa Malaysia!

Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
24 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 25/10/2018

- Advertisement -