Piala Malaysia: T’ganu cuti peristiwa 28 Okt

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengumumkan cuti peristiwa pada 28 Oktober ini bagi negeri ini sempena kejayaan pasukan bola sepak Terengganu FC melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

- Advertisement -

Katanya, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini mencadangkan pada tarikh tersebut sebagai cuti peristiwa bagi seluruh pekerja di Terengganu.

Menurutnya, prestasi pembangunan sukan di negeri ini juga menunjukkan prestasi yang amat membanggakan termasuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 lalu.

“Kemuncaknya pada kali ini perlawanan bola sepak Piala Malaysia di mana Terengganu akan berdepan dengan Perak Darul Ridzuan. Menyedari penyokong-penyokong dari Terengganu terpaksa berkunjung ke Shah Alam, Selangor untuk menyaksikan pasukan negeri (Terengganu) dan ini menjadi motivasi kepada pemain-pemain.

“Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) mencadangkan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 28 Oktober 2018 sebagai hari cuti peristiwa kepada seluruh pekerja-pekerja di negeri Terengganu,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sehubungan itu, kata Dr Samsuri, jika pasukan Terengganu FC berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini akan ada sesuatu ‘habuan’ bakal diterima.

“Sekiranya, pasukan Terengganu FC ini menang, akan ada sesuatu ganjaran tetapi tidak akan diumumkan sekarang. Kita akan lihat dahulu apa keputusannya pada 27 Oktober ini.

“Kita beritahu awal untuk memberi ruang kepada agensi-agensi atau sekolah-sekolah untuk membuat perubahan jadual, yang berkait dengan perancangan mereka. Kita beritahu awal supaya perancangan itu boleh dibuat.

“Insya-Allah, ada sesuatu…ada sesuatu. Hari ini kita umum cuti dahulu, sama ada menang atau kalah. Insya-Allah, kita akan menang,” ujarnya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah. – HARAKAHDAILY 24/10/2018

- Advertisement -