Kelantan tarik balik saman Petronas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menarik balik saman terhadap Petroleum Nasional Berhad dan Kerajaan Malaysia berhubung tuntutan royalti yang berlarutan sejak sekian lama.

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, penarikan balik saman berkenaan dilakukan serta merta seperti diputuskan pada mesyuarat Exco hari ini.

Menurutnya, keputusan itu diambil setelah mengambil kira pengakuan dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang akan memansuhkan program wang ehsan.

“Perkara itu disebut perdana menteri pada mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negara baru-baru ini.

“Pada mesyuarat itu perdana menteri menyebut bayaran petroleum akan diberikan terus kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu tanpa mengambil kira status negeri itu di bawah pembangkang,” ujarnya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim.

Kerajaan Kelantan mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti di Mahkamah Tinggi Malaya pada 2011. Bagaimanapun kes itu tidak berpenghujung sehingga sekarang. – HARAKAHDAILY 24/10/2018

- Advertisement -