Fitnah: Kelantan tidak boleh bayar gaji

fadli shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kononnya Kerajaan Negeri Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan adalah satu fitnah.

- Advertisement -

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) berkata, Menteri Kewangan turut mengatakan bahawa Kelantan merupakan penerima bantuan defisit tertinggi.

“Saya ingin ingatkan bahawa kenyataan Menteri Kewangan tersebut adalah satu fitnah yang sengaja direka-reka.

“Belum pernah dalam sejarah kerajaan negeri Kelantan, penjawat awam tidak dapat dibayar gaji oleh pihak kerajaan. Yang adanya ialah memo yang beredar daripada Majlis Daerah Sabak Bernam mengenai penangguhan pembayaran gaji bulan Ogos 2018.

“Ini baru betul tidak mampu bayar gaji. Pemain bola sepak Pulau Pinang lima bulan tertunggak gaji,” katanya ketika sesi perbahasan di Parlimen, hari ini.

Menurutnya, tidak pernah berlaku penjawat awam di Kelantan tidak dibayar gaji seperti yang didakwa oleh menteri tersebut.

“Maka kami sedih kenapa Menteri Kewangan mengheret kenyataan-kenyataan seperti ini masuk ke dalam dewan yang mulia ini,” katanya.

Tegasnya, kerajaan Kelantan sentiasa berhemat dalam perbelanjaan dan boleh dilihat dari segi prestasi ekonomi negeri, peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan meningkat sebanyak 1.3 peratus pada 2016 serta pada kadar 48 peratus berbanding KDNK tahun 2015 sebanyak 3.5 peratus.

Jelasnya, peningkatan sebanyak 1.3 peratus itu meletakkan Kelantan negeri keenam tertinggi pertumbuhannya melebihi peratus KDNK negara yang berada pada kadar 2.42 peratus. – HARAKAHDAILY 24/10/2018

- Advertisement -