Akhbar The Edge Financial Daily membuat liputan mengenai kadar pertumbuhan simpanan individu rakyat Malaysia di institusi perbankan semakin perlahan sejak tahun 2011 hingga 2017. Meskipun jumlah sebenar simpanan menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun, tetapi kadar pertumbuhannya agak lemah.
Pada tahun 2012, kadar pertumbuhan simpanan meningkat 6.74% (RM116.4 bilion) berbanding tahun 2011 (RM109.1 bilion). Namun, pada tahun 2017 pula, kadarnya hanya menokok sebanyak 3.98% (RM140.47 bilion) sahaja berbanding tahun 2016 (RM135.1 bilion).
Hal yang sama juga berlaku bagi kadar pertumbuhan simpanan tetap yang merangkumi dana pelaburan am dan khas. Dalam tempoh 2012-2014 kadar pertumbuhan berlegar sekitar 6.96% hingga 12.17%. Sebaliknya, dalam tempoh 2015-2017, kadar pertumbuhan meningkat antara 5.64% hingga 7.76% sahaja.
Menurut penganalisis ekonomi, trend penurunan ini mungkin disebabkan oleh peningkatan ketara hutang isi rumah yang kini berada pada paras 84% daripada KDNK pada tahun 2017 berbanding 61% pada tahun 2006. Jumlah hutang meningkat menyebabkan pendapatan semakin kecil dan peruntukan untuk simpanan juga kecil.
Selain itu, segelintir penganalisis ekonomi lain juga berpendapat, peningkatan kadar pertumbuhan simpanan pada tahun 2012 disebabkan oleh normalisasi pada kadar dasar semalaman (overnight policy rate) yang dinaikkan daripada 2.00 peratus pada tahun 2009 kepada 2.75 peratus pada November 2010.
Penurunan kadar pertumbuhan simpanan memberikan gambaran kurang baik kepada ekonomi dan juga individu. Ia mungkin juga disebabkan oleh kadar pertumbuhan pendapatan yang sederhana. Sekiranya penggunaan swasta semakin lemah, maka KDNK juga akan turut terjejas. – HARAKAHDAILY 24/10/2018