Saya tertarik kenyataan PM – TG Abdul Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan kerajaan agar sentiasa merapatkan jurang pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar.

- Advertisement -

Tegasnya, penekanan juga harus diberikan kepada kestabilan ekonomi dan politik agar rakyat hidup harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Beliau memuat naik kenyataannya di akaun Facebook miliknya petang ini sebagai menyambut baik pendirian perdana menteri yang pernah disuarakannya sebelum ini.

“Saya tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa Pilihan Raya Kerajaan Tempatan masih belum sesuai dilaksanakan di Malaysia pada masa ini.

“Perkara ini pernah saya sebut dahulu bahawa bandar perlu dibangunkan bersama dengan luar bandar, manakala kestabilan ekonomi dan politik di bandar perlu dijaga bagi mengelak timbulnya jurang perbezaan dan ketegangan kaum dalam negara,” tulisnya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara bersama Sinar, semalam berkata buat masa ini kerajaan PH belum bercadang melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa terdekat atas faktor mengambil kira ketidakseimbangan jumlah komposisi kaum di bandar dan luar bandar. – HARAKAHDAILY 23/10/2018

- Advertisement -