Datuk Melaka macam beroleh mi segera

subky
- Advertisement -

ANTARA yang menarik dalam pemerintahan baru Pakatan Harapan yang belum sampai enam bulan khususnya di Melaka dekat setengah dozen orang yang meninggalkan PAS beroleh Datuk pada hari jadi TYTnya, baru-baru ini.

- Advertisement -

Mereka itu rata-rata adalah menteri dan timbalam menteri yang sebelumnya tak terfikir berjuang politik untuk menjadi bangsawan baru.

Kata Perdana Menteri Mahathir tentang kemenangannya membentuk kerajaan baru lepas PRU14 lalu ialah dia tidak sangka menang. Maka tidak menyangka mereka hendak menjadi Datuk dalam masa yang segera.

Biasalah dalam sistem selepas merdeka orang politik yang menang pilihan raya dan memerintah dianugerah Datuk atau Tan Sri. Tetapi tidak secara beroleh Datuk kurang dari enam bulan menjadi menteri.

Lainlah bagi yang menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri, jawatan itu secara automatik membawa gelaran dan itu pun jika tuan badan bersetuju.

Lim Guan Eng dua penggal menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang elok saja tidak berDatuk. Dia meneruskan cara Ghafar Baba, sebagai Ketua Menteri pilihan rakyat yang pertama di Melaka terus tidak memakai bintang kebesaran itu hinggalah dia selepas berundur dari politik baru sedia diberi Tun.

Khir Johari mula menang pilihan raya tahun 1955, tak lama kemudian jadi menteri pelajaran, antara empat anggota kabinet Tunku boleh ke sana sini menggunakan pesawat TUDM. Mereka ialah Tunku, Tun Razak, Dr Ismail dan Khir Johari. Ertinya dia antara menteri kanan. Elok saja tidak berpingat memadai dipanggil Encik Khir dan Encik Ghafar.

Setelah sekian lama, setelah empat Perdana Menteri silih berganti, selepas bekas TPM Ghafar diberi Tun baru Khir menjadi Tan Sri.

Prof Diraja Ungku Aziz, Melayu pertama jadi Naib Canselor Universiti Malaya, hingga anaknya Dr Zeti sejak lama jadi Tan Sri, dia masih tidak berbintang. Bukan tiada raja hendak memberinya. Bintang yang diterimanya hanya Profesor Diraja, ada satu saja bagi universiti itu.

Adapun al-Marhum Sultan Abdul Halim di Kedah tidak menunggu rakyatnya jadi menteri dianugerahnya Datuk. Didapati baginda Ustaz Fadzil Noor dan Mahfuz Omar lama jadi pembangkang maka baginda beri bintang. Kali pertama, Ustaz Fadzil tolak dulu. Kali kedua tidak lagi dapat menolak. Mahfuz, lama sebelum keluar PAS dia sudah berDatuk.

Dan al-Marhum Tuanku Abdul Halim semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong kali kedua, setelah melihat Menteri Besarnya Ustaz Azizan Razak tidak lagi jadi Menteri Besar terbaring di hospital kerana kedua-dua kakinya dipotong kerana kencing manis, lalu baginda menganugerahnya Tan Sri.

Adapun Melaka tidak bercontoh kepada cara Tun Ghafar Baba, biasa saja TYTnya bermurah hati memberi Datuk termasuk orang luar dari negeri Melaka. Dari dulu lagi orang yang ditarik Datuknya di Kelantan, TYT ganti Datuknya di Melaka.

Ia diuruskan di zaman PH ini. Ada Datuk di Kelantan yang Datuknya dilucutkan setelah Sultan Kelantan jadi Yang di-Pertuan Agong, diganti dengan Datuk baru di Melaka.

Tidak salah bagi mana-mana negeri memberi bintang kepada sesiapa yang hendak diberinya, tetapi bintang itu sesuai dengan khidmatnya khususnya di negeri yang memberi bintang itu.

Apa jasa setengah dozen orang dari luar Melaka kepada Melaka dalam masa lima bulan lalu. Boleh dikira Datuk itu dibolot oleh satu parti. Ia ada sedozen MP menang PRU14, separuh dapat Datuk Melaka.

Tidak salah, cuma luar biasa. – HARAKAHDAILY 23/10/2018

- Advertisement -