Wala’ dari perspektif rukun baiah

- Advertisement -

SETELAH dijelaskan pada siri lepas mengenai manifestasi wala’ secara umum, pada siri ini kita membincangkan wala’ dari perspektif rukun baiah pula.

- Advertisement -

Rukun baiah diperkenalkan oleh Imam Hasan al-Banna, pelopor Fiqh Haraki dan juga pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Ianya merupakan 10 perkara asas yang perlu menjadi identiti kepada setiap abnaul harakah yang telah mewakafkan diri untuk memperjuangkan Islam melalui wadah jemaah. 10 perkara tersebut ialah:

1.     Faham

2.     Ikhlas

3.     Amal

4.     Jihad

5.     Tadhiyah

6.     Taat

7.     Thabat

8.     Tajarrud

9.     Ukhuwah

10.     Thiqah

Timbul persoalan, kenapa mesti 10? Tidak bolehkah lebih?

Tiada masalah untuk lebih. Isu sama seperti rukun Islam. Islam tidak terhad kepada lima rukun sahaja. Tetapi sebagaimana hadis Nabi S.A.W, Islam dibina di atas lima rukun tersebut. Ia dianggap tapak (foundation) kepada tuntutan Islam yang lain. Begitulah halnya rukun baiah.

Walau bagaimanapun, rukun tersebut hanyalah sebuah ijtihad dari seorang ulamak Islam. Ia menerima pembaharuan dan pengubahsuaian yang sesuai mengikut peredaran zaman dan keadaan. Bak kata Ayah Chik, buku-buku haraki bukan al-Quran yang tidak boleh berubah. Bukan semuanya sesuai sepanjang zaman.

Perkara ini mungkin perlu dibahas khusus. Adapun siri ini lebih memfokuskan berkenaan wala’ sahaja.

Faham; mampu mengesan penyelewengan dalam jemaah 

Sebelum memberikan kesetiaan dan menumpahkan kasih sayang, sudah tentu perlu kenal dahulu. Tak kenal maka tak cinta. Oleh itu bagi mencapai kesempurnaan wala’, memahami Islam yang menjadi maudhu’ dakwah jemaah Islam adalah satu kemestian.

Kenal Islam sedalamnya sama ada dari sudut akidah, syariah mahupun akhlak. Amati tasawur (gambaran) agama ini sejelasnya supaya kefahaman yang terbentuk syumul. Juga kenali musuh agama ini iaitu kebatilan dan kekufuran supaya dapat melakukan pembezaan dan mengesan ancaman yang mendatang.

Orang wala’ yang faham akan berusaha membawa jemaah ini mengikut jalan istiqamah atas dasar Islam walaupun terpaksa merubah beberapa pendekatan dan strateginya. Juga akan segera mengesan penyelewengan yang berlaku dalam jemaah dan berusaha memperbetulkannya.

Ikhlas; tidak termakan dedak murahan 

Wala’ merupakan urusan akal dan hati. Ia tidak boleh dibuat-buat. Tetapi boleh dilatih dan diasuh. Wala’ tidak akan dicapai bagi mereka yang meletakkan kepentingan lain dalam penglibatan mereka bersama jemaah Islam. Justeru keikhlasan adalah satu kemestian.

Orang wala’ yang ikhlas tidak mudah leka apabila menerima ghanimah hasil perjuangan. Mereka juga tidak mudah menerima suapan musuh yang sentiasa cuba mencari peluang. Bahkan mereka mampu mengesan unsur-unsur pendedakan dan mempertahankan jemaah ini daripada dikotori dengan rasuah lebih-lebih lagi atas nama agama.

Amal; bekerja tanpa upah dan arahan 

Apabila sudah kasih, sanggup buat apa sahaja demi jemaah yang dikasihi. Tidak perlu tunggu permintaan dan arahan, mereka akan sentiasa melihat apa yang jemaah ini perlu lalu segera membantu.

Orang wala’ tidak akan menjadi seperti pahat dan penukul. Mereka sentiasa rajin dan berinisiatif bagi memastikan jemaah sentiasa cemerlang. Tidak wujud istilah lebih sudu dari kuah, bukan memandai-mandai, tetapi semuanya dilakukan kerana wala’.

Jihad; kesungguhan sehabis daya 

Wala’ menuntut kesungguhan yang tidak terperi. Sebagaimana ayat yang Allah sebutkan supaya bersiap sehabis daya dengan segala kekuatan dan tali kuda, maka orang yang wala’ akan menggunakan segala kelebihan dan kebolehan yang mereka miliki bagi memajukan jemaah.

Orang wala’ yang memahami konsep jihad akan melihat jemaah ke dalam dan ke luar. Melihat ke dalam bermaksud melihat kelebihan dan kelemahan jemaah, lalu mengoptimumkan kelebihan tersebut dan mencari solusi bagi menampung kelemahan yang ada. Melihat ke luar pula bermaksud melihat peluang dan ancaman, seterusnya mengatur strategi bagi merebut yang ada dan membentuk benteng seampuhnya bagi mengelak ancaman.

Tadhiyah; sanggup korbankan diri demi jemaah 

Seorang yang kasih sanggup berkorban apa sahaja demi yang dikasihi. Mereka bukan sahaja sanggup melepaskan peluang untuk memajukan diri demi memberi laluan kepada maslahah jemaah, bahkan mereka sanggup pula menanggung apa sahaja perkara negatif yang terpalit pada diri asalkan jemaah selamat.

Sampai satu tahap, orang wala’ bakal berhadapan dilema sama ada mengorbankan imej peribadi demi menjaga imej jemaah. Sanggup menerima bermacam tuduhan semata-mata kerana melaksanakan tuntutan jemaah. Ini merupakan tahap yang sukar, dan ramai yang telah tersungkur apabila sampai ke tahap ini. Inilah wabak sepanjang jalan.

Taat; manifestasi wala’ paling zahir 

Taat telah banyak dikongsikan pada siri yang lepas. Secara ringkasnya, mana mungkin seorang yang memberi kesetiaan kepada jemaah sanggup mengingkari arahan jemaah itu sendiri. Kalau yang tidak disuruh pun akan dibuat secara rela hati seperti amalan sunat, yang disuruh lagilah laju seperti amalan fardhu.

Namun boleh jadi orang wala’ kadang-kadang tampak tidak taat secara zahir. Ini boleh berlaku sekiranya arahan tersebut tidak sah seperti arahan yang melanggar syarak, melanggar ketetapan jemaah yang lebih tinggi, atau subjek arahan yang di luar bidang kuasa orang yang mengarah. Perkara ini banyak berlaku dan boleh menjadi fitnah di peringkat bawahan sekiranya rukun pertama (faham) tidak dihayati sebaiknya.T

Thabat; sehidup semati dengan Islam 

Boleh juga disebut sebagai tabah ataupun istiqamah. Orang wala’ akan tetap berada di atas jalan yang benar, dan akan sentiasa memandu jemaah supaya mengikut jalan yang satu. Boleh jadi jalan itu sudah berbeza antara dulu dengan sekarang dan itu merupakan perkara normal. Tetapi hanya mereka yang memiliki wala’ sahaja boleh memahami perubahan ini lalu berusaha memastikan jemaah ini mengikut perubahan tersebut.

Sayugia diingat, perubahan tersebut mestilah perubahan dalam batas perkara yang boleh berubah iaitu strategi dan pendekatan. Adapun perkara yang thawabit (tetap) iaitu dasar dan prinsip, ia sama sekali perlu dipertahankan. Orang wala’ akan sentiasa berpegang kepada asolah (keaslian) dakwah yang diambil dari sunnah perjuangan para Anbiya’. Pendekatan asing dan baharu haruslah tidak sampai kepada menyeleweng keaslian tersebut.

Orang thabat (tabah) ibarat orang bercinta; sanggup sehidup semati till jannah.

Tajarrud; pertahan jati diri dan keaslian 

Tajarrud dengan erti kata memiliki jati diri tersendiri. Ia lebih mudah difahami dengan membincangkan tajuk bara’ yang merupakan antonim bagi wala’. Insya-Allah akan dihurai pada siri yang lain.

Secara ringkas, tajarrud adalah menolak sebarang anasir asing yang cuba memesongkan keaslian dakwah yang dibawa oleh jemaah baik dari sudut pemikiran mahupun tingkah laku. Orang wala’ tidak akan mudah mengikut trend massa yang kadang-kadang menjengkelkan semata-mata kerana tagihkan sokongan atau populis. Orang wala’ dengan erti kata setia tidak akan terpesona dengan pihak lain walau seindah dan sebagus manapun mereka. Sebaliknya mereka akan jadikan ia sebagai satu cabaran bagi membuktikan ini lebih baik dari yang lain.

Ukhuwah; tiada klik tiada blok

Al-Quran menetapkan wala’ adalah bagi Allah, Rasul dan orang-orang beriman. Fokus kepada orang-orang beriman, kita mestilah memberi kesetiaan kepada orang beriman yang berciri mendirikan solat, menunaikan zakat dan tunduk kepada semua perintah tuhan (al-Maidah: 55). Mereka adalah saudara se-Islam yang perlu dikasihi, dan perlu diutamakan dalam setiap urusan.

Orang wala’ tidak akan sanggup bersekongkol dengan kumpulan yang memusuhi Islam. Apatah lagi berpakat dengan musuh Islam bagi memusnahkan saudara se-Islam dan sejemaah. Orang wala’ tidak akan membina blok-blok dan klik-klik di dalam jemaah, sebaliknya sentiasa mencari jalan untuk bersatu padu dan bekerjasama. Tidak memilih satu pihak yang sekepala sahaja untuk bekerja sebaliknya melibatkan semua jenis kepala yang ada dalam jemaah supaya hasil muafakat lebih matang dan bermutu.

Thiqah; pendekatan konsep tawakkal

Sepatutnya perkara ini sudah menjadi al-maklum minal din biddorurah (benda yang semua sedia maklum). Jika sesuatu itu dikasihi sehingga sampai tahap sanggup berkorban, maka thiqah (kepercayaan) terhadap jemaah dan anggota sudah tentu akan wujud.

Orang wala’ yang thiqah terhadap pemimpin akan memberi sepenuh kepercayaan terhadap setiap keputusan dan arahan jemaah adalah dibuat atas dasar menjaga Islam dan bukan atas kepentingan sempit yang lain. Sekiranya timbul sebarang keraguan, sikap yang mesti diambil adalah segera mendapatkan penjelasan pihak yang terlibat supaya keraguan itu hilang serta merta.

Jika perkara melibatkan hal kerahsiaan, cukuplah pihak yang ragu itu menerima jawapan ia rahsia yang tidak boleh diketahui mereka, dan serahkan sahaja kepada mereka untuk menguruskan perkara tersebut. Pihak yang terlibat haruslah tidak bertaqiyyah apatah lagi berbohong semata-mata bagi melindungi kerahsiaan sesama anggota jemaah kerana pendekatan itu hanya untuk musuh dan keadaan yang tertentu, bukan untuk sesama sendiri.

Orang wala’ yang thiqah terhadap pengikut juga akan melihat mereka yang berpotensi dan berkebolehan sebagai pelapis kepimpinan dan akan mengasuh serta memberi peluang kepada mereka untuk terus ke hadapan. Mereka tidak dianggap sebagai pesaing yang bakal mengancam jawatan, kerana wala’ tidak mengajar untuk membina karier peribadi di dalam jemaah. Yang perlu difikirkan adalah masa depan jemaah, bukan masa depan diri dalam jemaah.

Wallahualam. Akan bersambung dengan siri lima, penyakit wala’.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 22/10/2018

 

- Advertisement -