Yuran UM naik, menteri wajib bertanggungjawab

- Advertisement -

KENAIKAN yuran Universiti Malaya oleh pihak pentadbiran tanpa notis baru-baru ini adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. Kenaikan sebanyak RM50 bagi penuntut lama dan RM100 bagi penuntut sesi 18/19 adalah merupakan beban baru kepada Mahasiswa UM untuk teruskan pelajaran mereka di samping terpaksa untuk berhadapan dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi di Kuala lumpur.

- Advertisement -

Kami percaya kenaikan yuran ini adalah berpunca daripada pemotongan dana oleh kerajaan kepada sektor Pendidikan Negara dalam Bajet 2018 yang melibatkan beberapa Universiti Awam (UA) termasuk UM.

Kami menyeru kepada Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik agar bertindak secara proaktif dan memastikan agar keputusan kenaikan harga yuran UM ini dapat dibatalkan dengan kadar segera.

Kami mencadangkan agar pentadbiran universiti UM fokus kepada usaha untuk menjana pendapatan universiti melalui Sistem Wakaf Pendidikan atau sumber kewangan yang lain dan tidak menjadikan mahasiswa sebagai sumber untuk menampung kos universiti.

Kami juga mengharapkan agar Menteri Pendidikan Malaysia dapat melobi Perdana Menteri Malaysia untuk memberikan dana yang lebih besar kepada UA dalam Bajet 2019 yang bakal dibentangkan di dalam Parlimen dalam masa terdekat ini agar masalah kenaikan harga yuran pengajian di universiti tidak berulang lagi selepas daripada ini.

Sekian.

“Istiqamah Bersama Islam”

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI 
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2018. – HARAKAHDAILY 21/10/2018

- Advertisement -