Malaysia Inc 2.0 dan Kajian Separuh Penggal RMK11

- Advertisement -

BEBERAPA indikator ekonomi yang dilaporkan dalam Kajian Separuh Penggal RMK11 telah membawa kepada satu andaian awal (preliminary assumption). Andaian tersebut berasaskan kepada naratif yang digubah oleh YAB Perdana Menteri sejurus selepas kemenangan Pakatan Harapan bulan Mei yang lalu. Kerajaan Persekutuan dijangka akan mengamalkan konsep pensyarikatan Malaysia (Malaysia Incorporated) versi 2.0.

- Advertisement -

Konsep Pensyarikatan Malaysia (Malaysia Inc) adalah pendekatan yang dipopularkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sejak tahun 1983. Malaysia menjadi sebuah ‘huge corporation’ di mana hubungan kerjasama antara kerajaan dan swasta terjalin akrab untuk memacu pertumbuhan negara. Simbiosis kerjasama kedua-dua entiti tersebut dianggap sebagai satu strategi industri ke arah pembentukan negara perusahaan.

Peranan kerajaan ialah sebagai fasilitator untuk mencorakkan persekitaran ekonomi yang kondusif. Sementara itu, sektor swasta pula akan menjadi pengemudi pasaran, mencipta kekayaan dan membuka peluang pekerjaan. Entiti bisnes yang mengaut keuntungan akan memberi pulangan kepada pendapatan isi rumah dan seterusnya menyumbang kepada hasil Kerajaan Persekutuan.

Beberapa semakan baru indikator ekonomi yang terdapat dalam RMK11 cenderung ke arah pengamalan Malaysia Inc 2.0 ini.

Pertama, Kerajaan Persekutuan mengecilkan peruntukan perbelanjaan membangun daripada RM260 bilion kepada RM220 bilion. Kedua, defisit fiskal diunjur mencecah 3.0 peratus yang mana peruntukan perbelanjaan dijangka akan lebih tertumpu kepada perbelanjaan mengurus. Ketiga, pemfokusan Kerajaan Persekutuan ke arah mengadaptasi teknologi baru, automasi dan robotik selaras dengan Revolusi Industri 4.0. Keempat, Kerajaan Persekutuan dikatakan komited untuk meningkatkan kuasa beli rakyat dan menggerakkan perbelanjaan swasta sebagai enjin pertumbuhan.

Selain itu, beberapa penganalisis ekonomi dunia turut meramalkan krisis ekonomi global yang lebih buruk akan berlaku menjelang tahun 2020. YAB Perdana Menteri lebih cenderung ke arah melindungi ekonomi domestik dan mahu syarikat-syarikat tempatan mendominasi kegiatan ekonomi negara. Disebabkan itu, beliau juga tidak bersetuju dengan konsep pelaburan yang dibawa oleh mantan PM terutama dari China kerana dilihat bercanggah dengan konsep sebenar FDI.

Pada minggu yang lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia turut menawarkan pilihan untuk meregulasi kawalan modal (capital control) dalam pasaran kewangan. Kaedah ini juga merupakan salah satu pendekatan untuk meningkatkan pertumbuhan. Penurunan kadar faedah akan merancakkan sektor pinjaman/pembiayaan berbanding bon/sukuk. Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan terutama Khazanah Nasional akan menjadi pemain utama dalam kondisi tersebut.

Walau bagaimanapun, ini sebagai andaian awal yang dibuat bagi menelah falsafah dan konsep yang diamalkan oleh Pakatan Harapan dalam ekonomi politik. Banyak kajian implikasi yang perlu dilakukan untuk menjustifikasi konsep Malaysia Inc 2.0 antaranya jurang pendapatan isi rumah, keadilan pengagihan kek ekonomi, kelebihan persaingan, keberkesanan projek, ketelusan dalam perolehan dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 20/10/2018

- Advertisement -