Takziah di atas pemergian Pak Ali Unit Amal

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Kedah merakamkan ucapan takziah buat hero Jabatan Amal Kedah yang telah kembali bertemu Ilahi petang kelmarin di rumahnya Taman Seri Kota, Kota Kuala Kedah, Sungai Petani, Kedah.

- Advertisement -

Pak Ali Unit Amal panggilan mesra buat allahyarham tidak asing buat keluarga Jabatan Amal Kedah yang telah berkhidmat tanpa mengira penat dan lelah, panas dan hujan komited dalam tugasan yang telah diberikan, walaupun keadaannya sedikit uzur akibat kesan dari peristiwa kemalangan yang menimpanya semasa perjalanan pulang dari tugasan, akibatnya Pak Ali terpaksa mengerahkan kudratnya untuk menjalankan tugas dengan keadaan kakinya terhencut-hencut, namun semua itu bukan penghalang untuk allahyarham mencari jawapan sebagai bekalan apabila ditanya nanti apakah sumbangan kamu kepada Islam? Alhamdulillah Allahyarham Pak Ali sudah ada jawapannya.

Allahyarham Pak Ali pernah menerima anugerah ‘Amilin Cemerlang’ semasa Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah kali ke-40, anugerah ini diberikan kerana kesungguhan Allahyarham Pak Ali dalam menjalankan tugas dengan mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi perjuangan Islam, Istiqamah perjuangannya sehingga ke hujung nyawa.

Pemergian almarhum sebagai hero Jabatan Amal Negeri Kedah merupakan suatu kehilangan besar buat Dewan pemuda PAS Negeri Kedah kerana kita merupakan satu keluarga yang besar.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mengucapkan takziah kepada ahli keluarga almarhum dan semoga syurga ganjaran untuknya daripada Allah yang Maha Memelihara ke atas setiap nyawa hamba-Nya.

“Jihad menuju kemenangan”

YB USTAZ MOHD SALIM MAHMMOD
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
19 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 19/10/2018

- Advertisement -