Apabila Ahli Parlimen PAS berbicara

- Advertisement -

MUNGKIN ada yang menyangka kesemua Ahli Parlimen PAS adalah golongan ustaz dan ustazah, tidak pandai pun berbicara hal selain daripada agama di dalam Dewan.

- Advertisement -

Adakah benar sangkaan ini atau sebenarnya ia adalah persepsi ilusi sahaja?

Hakikatnya, para Ahli Parlimen PAS di dalam dewan turut berbahas mengenai pelbagai isu yang melibatkan kepentingan rakyat. Yang hanya membezakan PAS dengan parti lain ialah segala permasalahan yang berlaku perlulah diselesaikan dengan mengikut acuan Islam kerana antara prinsip utama perjuangan PAS ialah Islam sebagai ‘ad-din’, suatu cara hidup yang syumul lagi sempurna.

PAS tidak beriman kepada prinsip Machiavelli, matlamat menghalalkan cara.
PAS tidak menyalahgunakan konsep “Islam Rahmatan Lil Alamin” dan Maqasid Syariah untuk dijadikan alasan bermudah-mudah dalam hal melibatkan akidah dan syariat Islam.
Semestinya, PAS tidak juga beriman kepada fahaman ideologi sekularisme, sosialisme, liberalisme dan pluralisme demi untuk meraih undi dan kuasa.

Bagi sesiapa yang berkesempatan menonton siaran sidang Parlimen pasti dapat melihat sendiri Ahli Parlimen PAS tidaklah duduk diam membisu sahaja. Mereka bangun mengemukakan pelbagai soalan dan terlibat juga dalam sesi perbahasan rang undang-undang.

Berikut antara senarai isu dan persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PAS pada sidang minggu ini;

SOALAN:
a) YB Kubang Kerian: isu nasib peneroka Felda

b) YB Kota Bharu: isu fungsi Hospital Pengajar Universiti

c) YB Kuala Nerus: dasar dan inisiatif membangunkan usahawan Bumiputera

d) YB Rantau Panjang: isu import sisa pepejal

e) YB Pasir Mas: isu Dasar Pertahanan Negara, penghapusan tol, Permata Kurnia Anak Autisme

f) YB Pendang: isu Dasar Ekonomi Baru

g) YB Pasir Puteh: isu penghasilan padi

h) YB Tumpat: isu pemeliharaan hutan dara

i) YB Jerai: isu status Biasiswa Mybrain

j) YB Kuala Terengganu: isu ancaman keselamatan pertahanan negara

Banyak lagi soalan lain yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen PAS namun, tidak kesemuanya sempat dijawab di dalam Dewan secara lisan kerana kekangan had masa yang diperuntukkan hanyalah satu jam 30 minit.

Pada minggu ini juga berlangsungnya sesi perbahasan tiga Rang Undang-Undang. Antara Ahli Parlimen PAS yang ditugaskan untuk membahaskan RUU tersebut ialah:

i) Rang Undang-Undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan):
YB Kubang Kerian, YB Kuala Krai, YB Kemaman, YB Pasir Puteh

ii) Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan):
YB Pendang dan YB Kubang Kerian

iii) Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan):
YB Rantau Panjang dan YB Pasir Puteh

Pada hari pertama persidangan berlangsungnya sesi perbahasan usul berkenaan Ucapan Perdana Menteri di PBB yang akan dijadikan kerangka asas Dasar Luar Malaysia Baharu pada era Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

PAS diwakili oleh Ketua Whip, YB Kota Bharu membahaskan usul tersebut. Beliau secara jelas menzahirkan pendirian PAS yang tidak mempunyai masalah untuk menyokong usul tersebut khususnya yang berkait dengan kedaulatan negara, isu Palestin, nasib masyarakat Rohingya.

Namun, PAS turut memperingatkan Kerajaan agar lebih teliti dan berhati-hati dalam hal meratifikasi konvensyen antarabangsa agar ianya tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan norma budaya masyarakat di negara ini.

YB Sik sempat juga bangun mencelah untuk memberikan cadangan dan seruan agar Malaysia lebih aktif dalam membantu menyelesaikan konflik masyakat Rohingya dengan menjadikan Malaysia sebagai hub pusat dialog kemanusiaan.

Minggu hadapan bermulanya sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 diikuti dengan Belanjawan 2019. Pastinya, YB Tuan Guru Presiden PAS dan sekalian Ahli Parlimen PAS akan bangun menyampaikan ucapan perbahasan masing-masing bagi menyuarakan isu permasalahan dan luahan hati rakyat yang mengharapkan perubahan lebih baik dalam suasana Malaysia Baru ini.

Walaupun bermacam fitnah, gelaran dan tuduhan jahat dilemparkan terhadap PAS, tetapi hakikatnya ianya tidak sesekali dapat melemahkan semangat juang pemimpin dan penyokong parti yang sudah berusia mencecah 67 tahun ini. Matlamat tertinggi PAS ialah menegakkan Islam bukannya merebut puncak kuasa sehingga sanggup menggadaikan dasar dan prinsip perjuangan.

Apa guna ada kuasa tetapi takut hendak menyebut berkenaan Islam dan pelaksanaan syariat Islam.
Apa guna ada kuasa tetapi tunduk akur kepada desakan dan tuntutan pihak yang mahu melemahkan Islam.
Inilah yang membezakan PAS dengan parti lain.

Catatan Parlimen oleh:
SYED AHMAD FADHLI
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen dan Dun PAS
18 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 18/10/2018

- Advertisement -