16 Oktober: Kebangkitan Gerakan Islam

- Advertisement -

KETIKA saat kejayaan Jepun mengalahkan Russia pada 1905M, telah menjadi fenomena kepada dunia mengenai gerakan pembaharuan yang bangkit di negara-negara Asia yang dijajah. Ia sekali gus menyuburkan gerakan mempertahankan khalifah yang sedang digugat di Istanbul. Sultan Abdul Hamid II, Khalifah Daulah Othmaniyah yang menggerakkan penyatuan Pan Islamisme (Wehdatul Islamiyah) telah mendapat sokongan umat dari rantau ini. Di Nusantara, sejak 1905M, telah bangkit dua gerakan yang sangat ditakuti oleh Belanda iaitu Jamiat Choir di Betawi dan Sarekat Dagang Islam di Surakarta (Solo). Jamiat Choir secara terbuka menghidupkan sokongan kepada khalifah melalui Khalifat Movement di Jawa, sehingga memaksa Belanda menaja penubuhan Budi Utomo pada 1908M.

- Advertisement -

Salah satu tenaga penting dalam kebangkitan Islam di Nusantara ialah Sarekat Dagang Islam (SDI) yang ditubuhkan oleh Haji Samahundi pada 16 Oktober 1905M. Gerakan yang bermula dengan penerbitan akhbar Taman Pewarta sejak 1902 ini, telah memunculkan Sarekat Islam (SI) setahun selepas zahirnya SDI. Ternyata kebangkitan SI ini adalah reaksi terhadap kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara seperti Pattani (1902M), Aceh (1903M), Tidore (1903M) dan Banjar (1904M), sebelum Sultan Abdul Hamid II dimakzul pada 1909M. Dari SDI ini, ia bermetamorfosis membentuk SI (1906M), Central Sarekat Islam (CSI) (1923M) dan kemudiannya memunculkan Partai Sarekat Islam Indonesia (PSII) pada 1929M. SI mengalami ujian perjuangan yang berat kerana perpecahan dengan Muhammadiyah dan penyelusupan Komunis sehingga memunculkan “SI Putih” dan “SI Merah.” Kerana infiltrasi inilah, HOS Chokroaminoto menuliskan magnum opusnya, “Islam dan Sosialisme,” bagi menolak dakyah Komunis yang merebak dalam SI.

Beberapa pengkaji telah memberikan merit yang besar kepada SI dalam konteks kebangkitan Islam. Menurut Prof Dr Ahmad Mansur Suryanegara, kebangkitan SDI “merupakan lambang awal dan suatu keberhasilan gerakan pembaharuan organisasi Islam” selepas 500 tahun umat ini dijajah; sedangkan Prof Dr Azyumadi Azra mengatakan bahawa SI adalah “kekuatan ‘Islam politik’ yang pertama muncul di Nusantara”. Peneliti Barat, George McTurner Kahin pula mengatakan, “SI adalah organisasi Nasionalis pertama di Indonesia yang bergerak di ranah politik”. Dengan merit-merit seperti ini, maka Nusantara menerusi SI telah menjadi pelopor gerakan Islam sedunia, mendahului Ittihad Muhammadi di kota Othmaniyah, Istanbul (1909M), Ikhwanul Muslimun di Mesir (1928M), Hizbul Istiqlal di Maghribi (1936M) dan Jamaat Islami di India (1941M).

Peranan SI terhadap kebangkitan gerakan Islam tidak banyak diketahui oleh pendukung gerakan Islam hari ini. Tetapi ia menjadi api kebimbangan yang besar bagi kuasa penjajah Belanda sebagaimana telah ditegaskan oleh Suryanegara (2009: 350). Bahkan Suryanegara mempersoalkan kebijakan pemerintah Indonesia yang mengambil tahun 20 Mei 1908, iaitu penubuhan Budi Utomo sebagai tarikh kebangkitan Nasionalisme, kerana pada hakikatnya kemunculan SDI pada 16 Oktober 1905 itulah kebangkitan sebenar yang ditakuti oleh penjajah. Kerana itu, para orientalis Barat segera mengkaji dan mendalami susur galur dan dasar perjuangan SI, sedangkan di kalangan pendukung gerakan Islam hari ini, mereka tidak memberati susur galur dan sejarah perjuangannya.

Sejak Snouck Hurgronje menulis “Politique Musulmane de la Hollande” pada 1911M, kajian-kajian mengenai SI mulai melebar – simbol perhatian Barat terhadapnya. Nah! Lihatlah beberapa ensiklopedia yang mencatatkan maklumat SI seperti tulisan J. Th Petrus Blumberger (1918) “Sarekat Islam” dalam Encyclopedie van Nederlandsch-Indie, dan C.C Berg (1934) “Sarekat Islam” dalam The Encyclopedia of Islam. Pada 1919, seorang pengkaji Belanda, B. Alkema telah menuliskan “De Sarekat Islam” (1919: GJA, Utrecht) untuk mencerakin gerak perjuangan SI. Bahkan pada 1939M, seorang sarjana Belanda, Federick Lodewijk Rutgers telah menghasilkan tesis kedoktorannya di Free University of Amsterdam dengan judul “Indenburg en de Sarekat Islam in 1913“. Semua tulisan dan penelitian ini adalah terjemahan kepada perhatian serius Barat terhadap peranan besar SI dalam membangkitkan kesedaran umat Islam untuk kembali bernegara dalam acuan Islam di Nusantara.

Tulisan-tulisan terbaru para sarjana tempatan seperti Api Sejarah (2009) yang dikaryakan oleh Ahmad Mansur Suryanegara telah cuba memberikan sisi pandang yang baru terhadap kebangkitan gerakan Islam di rantau ini. Di kalangan sarjana tempatan Nusantara, yang pertama meneliti mengenai SI ialah Prof Anton Timur Djelani di University of McGill, Kanada pada 1959M yang menghasilkan tesis sarjana bertajuk “The Sarekat Islam Movement: Its Contribution to Indonesian Nationalism“. Pada zaman Orde Baru, setelah lama nama SI tenggelam dari perhatian pengkaji, pada 1980M, Drs Muhammad Abdul Ghani, seorang peneliti dalam keluarga besar SI telah menulis semula mengenai SI dalam kajiannya, “Cita Dasar dan Pola Perjuangan Syarikat Islam“. Sejak itu, baharulah muncul kajian-kajian lanjut mengenai SI di pentas akademik.

Perjuangan SI sebagai perintis gerakan Islam sepatutnya mendapat perhatian dan menjadi pengetahuan asas bagi semua pendukung gerakan Islam, khususnya di Nusantara. Di Malaysia, mungkin ramai yang mengetahui mengenai Pemberontakan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu antara 1924-1928M, tetapi sebahagian besarnya tidak menyedari mengenai rumusan British, bahawa gerakan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu adalah “wing of Sarekat Islam“. Demikian itulah luasnya peranan dan pengaruh SI dalam membentuk kesedaran politik Islam dan membangkitkan Nasionalisme bukan sahaja kepada bangsa Melayu, bahkan umat Islam seluruhnya.

Para pengkaji hampir sepakat bahawa penubuhan SDI pada 16 Oktober 1905M adalah permulaaan bagi kebangkitan Nasionalisme di Nusantara secara tersusun. Bahkan gerakan ini juga menjadi titik mula kepada kebangkitan gerakan Islam di seluruh dunia, yang hari ini bukan sahaja mengancam kuasa besar Barat, bahkan mewakili optimistik umat Islam untuk mencipta semula kekhalifahan yang jatuh 98 tahun yang lalu (1342-1440H). Setelah 113 tahun kebangkitan gerakan Islam, dan 98 tahun kejatuhan khalifah, genap satu kurun nanti akan menjanjikan tajdid buat umat untuk mengembalikan mereka kepada tujuan penciptaannya.

MOHD FADLI GHANI 
Pusat Penyelidikan PAS

Dicatat di
Institut al-Balaghul Mubin
16 Oktober 2018 / 7 Safar 1440 – HARAKAHDAILY 16/10/2018

- Advertisement -