PAS gembira keputusan PRK PD

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada rasa kecewa dengan kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, sebaliknya berbangga dengan prestasi undian rakyat terhadap PAS.

- Advertisement -

Menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, beliau melahirkan rasa gembira dengan keputusan pada PRK tersebut.

“Pilihan raya itu PAS mendapat undi yang meningkat 7,000 dari 6,000 dan kita bersendirian, satu parti saja berdepan dengan tujuh penjuru, berdepan dengan kerajaan pusat Pakatan Harapan, DAP, Parti Keadilan dan calon Bebas dan banyak penjuru.

“Walaupun banyak penjuru, undi pun meningkat, itu sangat menggembirakan,” katanya kepada wartawan di lobi parlimen tadi.

Melihat kepada peningkatan pengundi terhadap PAS di Port Dickson katanya, membolehkan PAS menubuhkan cawangan di Negeri Sembilan.

“Apa yang perlu adalah dibuat post-mortem, post mortem kita akan buat seawalnya.

“Kita dapati undi kita boleh tubuh cawangan masa akan datang. Kita ada jentera sendiri, parti lain tak ada jentera, kita ada jentera di Port Dickson,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Selain itu, beliau turut menentang penganjuran Oktoberfest 2018 dan mahu semua pihak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini yang merupakan kaum majoriti di negara ini.

“PAS protes kerana mesti menghormati sensitiviti orang Islam yang merupakan penduduk majoriti di Malaysia, pada masa sama kita hormat agama lain.

“Perlu dilihat apa peraturan itu, peraturan akan bocor atau tidak,” katanya menjawab pertanyaan wartawan mengenai penganjuran Oktoberfest dibenarkan tertakluk di bawah peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa. – HARAKAHDAILY 15/10/2018

- Advertisement -