Menjelang Bajet 2019

- Advertisement -

PERSIDANGAN Mesyuarat Dewan Rakyat Kali Kedua Penggal Pertama yang bermula hari ini akan menumpukan kepada pembentangan Bajet 2019 yang dijadual pada 2 November 2018 akan datang. Ia adalah bajet kritikal untuk menterjemahkan polisi Pakatan Harapan bagi mengukuhkan keyakinan para pemegang taruh terhadap kondisi ekonomi negara di bawah Malaysia Baharu.

- Advertisement -

Kemeruduman mata wang negara membangun, ketegangan perang dagang AS-China dan kebarangkalian krisis kewangan global antara independent variables yang akan mempengaruhi kelembapan pertumbuhan KDNK negara tahun 2018 dan Suku Pertama 2019. Pada masa yang sama, permintaan terhadap ringgit yang lemah juga turut menambahkan beban kewangan negara.

Selain itu, beberapa sektor ekonomi domestik juga turut terjejas. Isu harga getah dan kelapa sawit antara topik utama dalam sektor pertanian. Begitu juga, pertumbuhan sektot pembinaan yang terbantut akibat daripada ketidaktentuan status projek-projek infrastruktur mega. Enjin pertumbuhan akan banyak bergantung kepada sektor pembuatan, perkhidmatan dam sumbangan besar daripada sumber petroleum.

Sehubungan itu, penggunaan swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan bagi menampan ekonomi negara. Namun, sentimen pengguna belum dilihat kukuh disebabkan pengenalan semula SST dan jangkaan penguncupan berterusan pendapatan boleh guna rakyat. Kadar pengangguran mungkin lebih tinggi dan peluang-peluang baru pekerjaan masih belum mampu dijana sepenuhnya.

Oleh itu, saiz peruntukan yang terkandung dalam Bajet 2019 akan lebih kecil berbanding sebelum ini. Pendekatan austerity, pengawalan terhad bantuan kewangan, penjualan aset dan penggubalan cukai baharu dilihat akan menjadi pendebatan utama dalam bajet kali ini. Pelaburan sektor swasta akan terus digalak untuk memacu ekonomi dengan intervensi minimum daripada pihak kerajaan.

Bagi menjamin kebajikan rakyat, tiga komponen utama dalam sektor sosial akan menjadi perhatian khusus iaitu pendidikan dan latihan, kesihatan dan perumahan. Ketiga-tiga sektor ini akan dinilai lebih tajam bagi mengimbangi keperluan sebenar rakyat. Peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi sektor keselamatan tetap dikecilkan, manakala sektor ekonomi perlu kekal berlegar sekitar 55 peratus.

Akhirnya, satu komponen yang sukar diraih ialah keberkatan dalam aktiviti ekonomi. Keberkatan adalah aspek metafizik yang hanya akan dilimpahkan sekiranya memenuhi prasyarat yang ditetapkan oleh Maha Pemberi Rezeki. Kepimpinan yang diberikan kuasa pemerintahan mesti bertunjangkan ketaqwaan dan kepatuhan kepada Tuhan, memelihara amanah, mensejahterakan kehidupan rakyat, menyubur kebaikan serta menutup kemungkaran. – HARAKAHDAILY 15/10/2018

- Advertisement -