Harap semua dapat mengundi sebelum petang

- Advertisement -

PORT DICKSON: Berbaki tidak sampai lagi empat jam sebelum tempoh membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson (PRK PD) berakhir, sehingga jam 12.00 tengah hari tadi jumlah yang keluar mengundi mencecah 34 peratus.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS, Normala Sudirman berkata proses membuang undi diharapkan dapat ditunaikan oleh semua pengundi Parlimen Port Dickson sebelum waktu membuang undi tamat jam 5:30 petang ini.

“Kita berharap pengundi dapat turun awal, jangan menunggu hingga ke petang kerana kita bimbang akan berlaku hujan turun dengan lebat yang akan menjejaskan pengundi untuk turun mengundi,” katanya kepada Harakahdaily sewaktu turut mengiringi calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar menyantuni para pengundi, di sini hari ini.

Ditanya mengenai potensi kemenangan PAS di Port Dickson, beliau berkata PAS sentiasa optimis dan percaya apa jua keputusan yang akan diumumkan dianggap mempunyai hikmah tersendiri.

“Kalau pun tidak menang, ia adalah satu kemenangan yang ditangguh, kalah di dunia menang di akhirat kerana kita berusaha membuat perubahan dalam perjuangan ini, insya-Allah,” katanya.

Beliau memberi gambaran, kehadiran PAS bertanding dalam PRK PD ini bertujuan tidak memberi kemenangan percuma kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Kehadiran PAS ibarat penebas, kita ‘tebas’ seluruh kawasan sebagai persiapan untuk menuju Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. Ia akan meningkatkan populariti kita di sini yang mana rata-rata pengundi di sini adalah bukan Melayu.

“Memang diakui saingan amat sengit antara tokoh terkemuka seperti Anwar, tapi kita tetap sandarkan apa jua keputusan kepada Allah. Tidak mustahil, kita boleh memenanginnya. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2018

- Advertisement -