Oktoberfest: Pemuda gesa tindakan tatatertib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Premis-premis yang terlibat agenda pesta arak Oktoberfest perlu diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa Kerajaan Negeri, demikian gesa Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

- Advertisement -

Sarannya, tindakan tatatertib ataupun amaran keras mesti diberikan kepada premis yang berada dalam tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan jika terbukti menggerakkan agenda kemungkaran sedemikian.

“Kita dapati di dalam laman web rasmi pihak Carlsberg telah diuar-uarkan dengan menyebut beberapa premis di Kelantan turut terlibat di dalam menyokong agenda Oktoberfest dan diiklankan secara besar-besaran.

“Sikap kita, kita menentang Oktoberfest ini di Malaysia sama ada dibuat secara terbuka mahupun tertutup. Maka kita merasakan bahawa tindakan beberapa premis di Kelantan yang didakwa turut terlibat telah melanggar polisi Kerajaan Negeri.

“Maka ini harus dikenakan tindakan, mahupun diberikan amaran keras oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Dewan Pemuda PAS Kelantan tidak mahu bertolak ansur dengan sebarang penganjuran yang berkaitan minuman keras dibawa ke negeri ini.

“Ia sama sekali mesti dikekang dan dihindari daripada gaya hidup rakyat di negeri ini khususnya dan Malaysia secara umumnya,” tegas beliau.

Oktoberfest yang merupakan pesta arak besar-besaran dan berasal dari negara Jerman itu kini menular serta dibenarkan penganjurannya oleh pihak Kerajaan PH untuk dilangsungkan di Ibu Negara. – HARAKAHDAILY 12/10/2018

- Advertisement -