Manifestasi wala’

- Advertisement -

PADA siri ketiga ini, kita akan menyenaraikan beberapa manifestasi daripada pengertian wala’ yang telah diperbahaskan pada siri-siri yang lalu.

- Advertisement -

Taat sepenuh rela hati 

Manifestasi ini boleh dikatakan fundamental dalam konsep wala’. Bukan sekadar taat terhadap segala arahan jemaah, tetapi taat dengan rela hati, tidak atas dasar terpaksa.

Mentaati perkara yang memang selari dengan pandangan kita adalah sesuatu yang mudah. Tetapi mentaati perkara yang tidak selari itu sukar. Lebih sukar daripada itu, memujuk hati agar menerima keputusan jemaah tanpa sebarang rasa tidak berpuas hati.

Wala’ yang hakiki memerlukan anggota jemaah berusaha memadamkan segala rasa tidak senang dengan keputusan dan arahan jemaah, menukar rasa terkilan kepada rasa tenteram. Keputusan yang dibuat oleh kepimpinan jemaah adalah keputusan kita bersama. Mahu tidak mahu, perlu didukung sepenuh hati.

Manifestasi ini adalah paduan antara konsep taat dan thiqah. Mengambil masa lama untuk memujuk hati adalah lebih baik dari akur dalam keadaan makan hati.

Kemuka pandangan dan buah fikiran  

Wala’ mendorong anggota untuk sentiasa memikirkan mengenai jemaah. Dengan sentiasa berfikir dan berbincang, pelbagai idea akan muncul bagi memperkasakan jemaah.

Orang yang wala’ tidak akan teragak-agak mengemukakan sebarang idea yang baik untuk jemaah. Walaupun mereka hanya pengikut bawahan, ia tidak sekali-kali bermaksud mereka kurang cerdas berbanding pemimpin atasan. Boleh jadi mereka nampak sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran pemimpin.

Walaupun pimpinan telah dilantik, tetapi tidak bermakna tugas merencana dan membangunkan jemaah terpundak di atas bahu mereka sahaja. Tidak menjadi masalah bagi ahli untuk sama-sama memikirkan kepentingan jemaah pada apa jua isu. Cuma, mereka perlu mengemukakannya idea tersebut kepada pimpinan yang berkaitan kerana kuasa melaksanakan terletak di tangan mereka.

Anggota jemaah terdiri dari berbagai latar belakang pendidikan dan profesion. Kepelbagaian ini adalah rahmat yang tuhan berikan kepada jemaah Islam. Walau bagaimanapun, jawatan kepimpinan dalam jemaah adalah terhad dan tidak mampu dijawat oleh semua golongan. Justeru memikirkan mengenai hala tuju jemaah dan mengemukakan idea dan buah fikiran adalah tanggungjawab semua anggota di sepanjang masa, bukan ketika mereka berjawatan sahaja.

Berinisiatif tinggi 

Sebagaimana yang dinyatakan pada siri terdahulu, makna wala’ adalah lebih luas daripada taat. Kewujudan taat terikat dengan ketetapan dan arahan. Tanpa arahan tiadalah taat. Sebaliknya wala’ tidak terikat dengan perkara sedemikian.

Dengan erti kata lain, walaupun tanpa arahan dan garis panduan, seorang yang berwala’ akan tetap mengerjakan sesuatu perkara jika dirasakannya baik untuk jemaah dan tidak bercanggah dengan dasar, matlamat dan strategi semasa jemaah.

Wala’ mengajar anggota jemaah bersikap pro-aktif. Sikap menunggu arahan baru bertindak ibarat pahat dengan penukul. Anggota jemaah bukan robot yang bekerja mengikut aturan yang diprogram semata-mata. Mereka dikurniakan akal dan kesedaran sebagai seorang manusia, justeru ia perlu digunakan bagi memberi khidmat terbaik kepada jemaah.

Perlu jua disedari proses membuat arahan dan menggubal ketetapan tidaklah mudah. Ia terikat dengan korum, masa dan justifikasi. Pemimpin dan pembuat dasar bagi jemaah mungkin tidak sempat untuk melihat segala yang berlaku di berbagai peringkat. Justeru jika anggota jemaah hanya menunggu arahan untuk bertindak, nescaya jemaah ini akan sentiasa ketinggalan dalam mendepani cabaran semasa yang sangat ligat.

Tidak menyekutukan Allah pada nawaitu 

Perkara ini sudah tidak perlu dibincang panjang lagi. Sekiranya seseorang memiliki wala’ dengan erti kata sayang dan setia, maka tidak akan timbul lagi masalah ikhlas. Wala’ tidak akan sekali-kali wujud tanpa keikhlasan.

Keikhlasan seorang pewala’ bukan sahaja berniat semata-mata kerana Allah, tetapi juga membuang segala niat lain daripadanya. Tidak menyekutukan Allah dengan niat sampingan.

Dr Fathi Yakan menulis dalam bukunya Golongan Yang Tercicir, bahawa salah satu sebab digugurkan oleh Allah daripada perjuangan ini adalah kerana menyekutukan Allah dalam niat. Contohnya mereka yang melakukan berceramah dengan niat untuk mencari keredhaan Allah, tetapi dalam masa yang sama turut menyelitkan niat untuk membina pengaruh dirinya dalam jemaah.

Mengutamakan jemaah dalam segala-gala 

Antara manifestasi wala’ bagi seorang anggota jemaah adalah meletakkan jemaah ini adalah segala-galanya bagi mereka. Segala yang dilakukan adalah untuk jemaah ini tanpa kompromi, sehingga sanggup mengorbankan kepentingan peribadi sekiranya bertembung dengan tuntutan jemaah.

Contohnya mereka yang mendapat tawaran bekerja di negeri lain dengan gaji dan pangkat yang lebih lumayan. Namun jika diterima, beliau terpaksa melepaskan tanggungjawab yang telah diamanahkan di negeri yang sedang didiami, dan boleh menyebabkan jemaah di negeri, kawasan atau cawangan tersebut terbengkalai.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Harun Taib pernah mengorbankan kembara ilmu mereka untuk menyambung pengajian di peringkat PhD di al-Azhar, kerana mendapat panggilan daripada jemaah untuk pulang memberi khidmat. Walau bagaimanapun, hasil pengorbanan mereka telah melahirkan ramai ilmuwan Islam pemegang PhD.

Kasih sesama orang beriman 

Salah satu antara tiga pihak yang perlu kita memberi wala’ selain Allah dan Rasul adalah sesama orang beriman. Kasih yang diberi sesama orang beriman di dalan jemaah yang sama adalah lebih tinggi dari mereka yang tidak ada ikatan dalam jemaah. Mengutamakan mereka dalam segala hal mengatasi orang lain termasuk keluarga sendiri.

Hargai sesama anggota jemaah walaupun mereka hanyalah ahli biasa tanpa jawatan. Jangan terlalu meraikan orang di luar jemaah sehingga ahli sendiri dipinggirkan. Ingat bagaimana Allah menegur Nabi S.A.W apabila Baginda terlalu obses melayan Musyrikin sehingga menarik muka masam terhadap Abdullah Ummi Maktum.

Jadikan sesama jemaah teman rapat dan orang kepercayaan. Jangan sesekali mengambil orang luar yang tidak ada kena-mengena sehingga membelakangkan sesama sendiri. Apatah lagi berpakat dengan orang luar bagi menyerang sahabat sesama jemaah. Seburuk-buruk orang jemaah ini, setidaknya mereka mendukung perjuangan yang sama. Sedangkan orang luar yang dianggap bagus, boleh jadi mereka membawa agenda tertentu yang berlainan dari perjuangan kita.

Firman Allah S.W.T:

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang mengajak kepada jalan Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”

[al-Kahf: 28]

Amal Fardi dan Ijtimaie 

Wala’ kepada Allah dan Rasul menuntut kita untuk melaksanakan segala perintahNya. Bagi mereka yang berada di dalam jemaah Islam, ia tidak bermaksud mereka hanya perlu bekerja dalam perkara yang memberi maslahah kepada jemaah sahaja, atau disebut sebagai amal jamaie.

Mereka juga perlu turut menjalankan tanggungjawab individual yang tidak bersangkutan dengan jemaah seperti ibadat, akhlak dan seumpamanya. Mereka juga bertanggungjawab kepada masyarakat sekeliling. Hak sesama jiran, hak dengan rakan dan kenalan, hak sebagai warganegara, sebagai ahli keluarga dan bermacam lagi.

Ahli jemaah tidak boleh menjadi kera sumbang di dalam masyarakat. Mereka juga perlu terlibat dan memberi sumbangan kepada komuniti setempat yang berbagai latar belakang. Jangan menunggu program jemaah sahaja baru nak turun ke medan.

Semuanya digariskan dalam agama sudah begitu cantik. Walaupun tidak ditugaskan oleh jemaah, ia tetap tanggungjawab seorang Muslim. Tidak bermakna jika menjadi anggota jemaah, segala tanggungjawab lain sudah terlepas.

Mengawasi keselamatan jemaah 

Wala’ kepada jemaah turut mendorong seseorang kepada sentiasa peka terhadap penyelewengan dari berbagai segi. Ibarat sayang kedua ibu bapa terhadap anak mereka sehingga sentiasa mengawasi tindak tanduk sang anak, begitulah kasih sayang yang perlu ada pada seorang anggota terhadap jemaah.

Tidak timbul soal menyibuk atau jaga tepi kain orang lain. Jemaah ini milik semua anggotanya. Jemaah ini bakal menjadi hujah kita di hadapan Allah kelak apabila ditanya adakah kamu bersama jemaah Islam di dunia dahulu? Justeru menjaga keselamatan jemaah daripada diserang dari luar atau diselewengkan dari dalam adalah tanggungjawab bersama tidak kira pemimpin mahupun pengikut.

Jangan sampai jemaah ini hilang ciri-ciri Hizbullah dari sudut dasar, matlamat dan wasilahnya sebagaimana yang telah berlaku kepada beberapa jemaah Islam lain serata dunia.

Mempertahankan jemaah 

Wala’ dengan erti kata sayang akan menyebabkan kita rasa mahu membela jemaah ini sekiranya dikecam dan diancam atas apa jua isu. Kita akan menjadi benteng utama mempertahankan jemaah ini sekiranya berhadapan dengan pihak luar cuba menjatuhkan jemaah.

Walaupun kita bukan seorang mujahid siber yang dilantik, tetapi wala’ mendorong kita supaya membela jemaah apabila dituduh dengan perkara-perkara palsu di alam maya. Walaupun kita bukan anggota keselamatan, tetapi wala’ mendorong kita untuk mengambil tindakan sewajarnya jika mana-mana anggota jemaah diancam musuh.

Menegur kesalahan 

Atas sikap mengambil berat terhadap perjalanan jemaah, seseorang yang berwala’ tidak akan menunggu lama untuk terus mempersoalkan tindakan yang dilihat menyeleweng dari dasar, matlamat dan strategi jemaah. Jika benar penyelewengan telah berlaku, maka mereka tidak teragak-agak untuk menegur sehingga ia kembali diperbetulkan.

Dalam bab menegur, perlu diingatkan agar teguran di dalam Islam ada cara yang tersendiri mengikut perkara yang ditegur, orang yang ditegur dan situasi teguran. Perlu menggunakan saluran dan peringkat yang sesuai agar ia tidak memberi impak negatif terhadap jemaah.

Menegur tidak sekali-kali bererti membenci, jauh sekali untuk tidak berwala’, sebaliknya mengharapkan yang terbaik di samping bimbangkan perkara buruk daripada menimpa jemaah tercinta. Teguran adalah lambang kasih-sayang.

Lihat bagaimana Saidina Umar mendorong umat Islam untuk sentiasa menegurnya, sehingga apabila Saidina Umar meminta dirinya diperbetulkan sekiranya berbuat silap, maka bangkit seorang lelaki berkata sekiranya Umar berbuat kesalahan, beliau akan menegur dengan pedang! Dan Saidina Umar langsung tidak marah bahkan menyatakan kesyukuran!

InsyaAllah manifestasi wala’ akan disambung menerusi perbahasan rukun baiah pada siri akan datang. Selepas itu pergi kepada perbahasan penyakit wala’, dan ditutup dengan perbahasan antonim wala’.

3 Safar 1440
12 Oktober 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 12/10/2018

 

- Advertisement -