Tuan Penyapu, Datuk Bandar Penyapu

- Advertisement -

SETINGGI-tinggi tahniah buat Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu atas pelantikan ke jawatan yang berprestij itu dan selamat meneruskan perkhidmatan cemerlang yang sedikit sebanyak saya sebagai warga Bandar Raya Kuala Lumpur dapat tumpang limpahannya.

- Advertisement -

Setelah pelantikan itu kita sekalian dapat ikut pencapaiannya sebagai pegawai perkhidmatan dan di mana sahaja dia berkhidmat meninggalkan jasa dan layak dinobatkan sebagai jasawan.

Tapi yang paling menarik ialah ia mengingatkan kita semua tentang kejadian lebih 10 tahun lalu apabila dia menerima hadiah penyapu dari Meneri Besar Selangor ketika itu, Datuk Dr. Khir Toyo atas bidang perkhidmatan jabatannya.

Saya tidak berhajat mengupas sumbangan dan perkhidmatannya – berprestasi atau tidak. Tetapi tercatat dalam sejarah dunia mungkin untuk sepanjang zaman seorang penjawat awam dihadiah penyapu dan dia telah menerimanya di khalayak awam. Dipercayai tiada pemegang jawatan dianugerah penyapu oleh mana-mana pembesar sejak zaman Adam hingga ke penggal akhir perkhidmatan Barisan Nasional di Selangor.

Lepas itu BN tidak menang lagi di Selangor dan diragu akan berkuasa semula di Malaysia.

Di mana sahaja dia dihantar selepas itu, dikatakan berjaya mencapai perkhidmatan cemerlang dan kini diberi penghormatan jadi Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Malaysia Baharu pimpinan Pakatan Harapan, sebuah pentadbiran yang menamatkan ramai pegawai awam – politik dan tidak politik. Dan seorang yang rakan seangkatannya sudah ramai bersara, sebaliknya dia diperlukan perkhidmatannya.

Lebih 60 tahun lalu saya membaca buka yang dibekalkan oleh penjajah ke sekolah-sekolah Melayu yang tajuknya seingat saya Pelbagai Ceritera.

Antara yang dihikayatkan tentang Tuan Penyapu, seorang pentadbir tertinggi Belanda di Melaka. Bila dia lalu di mana-mana di Negeri Melaka sekalian anak jajahan – orang Melayu – menyapu sampah di mana sahaja mereka berada baik di tepi lorong kenderaan Tuan Penyapu itu lalu atau di kawasan rumah masing-masing yang boleh dilihat oleh Tuan Penyapu itu.

Orang Melayu dahulunya ke mana-mana berkeris atau berparang yang diikat ke pinggang, tapi di zaman Belanda masing-masing berpenyapu. Bila dia lalu atau dia ternampak, dia mahu semuanya mesti menyapu. Dia tidak mahu ada sampah di mana-mana. Dia mahu semua kawasan bersih.

Siapa yang tidak menyapu akan didendanya.

Maka dia dipanggil oleh semua dengan Tuan Penyapu. Maka masyhurlah Melaka masa ada seorang Tuan Belanda yang dikenal semua sebagai Tuan Penyapu.

Saya tidak tahu apakah Khir Toyo menghadiahkan penyapu kerana ada tentang Tuan Penyapu Belanda di Melaka itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu usah berasa malu dan terhina dengan anugerah penyapu kepadanya atas apa jua niat pemberi penyapu itu.

Kerana tiada di dunia dahulu dan sekarang dianugerah penyapu melainkan dia saja, terima saja seikhlasnya, bahkan cabaran itu yang melonjaknya dijadikan Datuk Bandar di tengah Lembah Kelang yang sampah menjadi masalah terbesar setiap masa dan ketika.

Bukanlah sampah itu sahaja yang jadi perhatiannya, tetapi terbanyak lagi sampah-sampah yang lain di bandar raya ini perlu disapunya. Jika tidak semua dapat disapu dengan penyapu yang ada padanya itu sekurang-kurangnya dapat menjadikan Kuala Lumpur wilayah yang tidak kotor sekalipun terbersih di dunia.

Penyapu iu bukan suatu yang hina. Simpanlah penyapu berhikmat di muzium peribadi yang mungkin dipamer dalam muzium bandar raya untuk perhatian semua. Bukan suatu yang hina jika selepas ini pegawai yang dihormati pula dikenali sebagai Datuk Bandar Penyapu, pembawa obor kebersihan/kecemerlangan. Amin! – HARAKAHDAILY 11/10/2018

- Advertisement -