Ahli politik dalam LP: Apa makna autonomi universiti?

- Advertisement -

SIKAP kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mudah lupa daratan walaupun baru lima bulan memerintah begitu dikesali. Mereka telah mengecewakan jutaan penyokong dan pengundi yang memberi harapan besar agar kerajaan baharu PH amat berbeza dan membawa wajah baharu kepada Malaysia, dan ia sama sekali tidak berlaku.

- Advertisement -

Dalam institusi pendidikan, setelah sekian lama universiti awam di negara ini dikongkong oleh para pemimpin politik yang terus menguasai hierarki tertinggi di universiti. Tujuan mereka tidak lain adalah menyekat suara kebebasan mahasiswa sehingga golongan pelajar takut untuk menjadi berani. Ditambah pula dengan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang memenjarakan pelajar dari bersikap kritikal dan prihatin terhadap perkembangan politik negara.

Harapan mahasiswa serta warga akademik hancur berkecai tatkala melihat kesombongan Menteri Pendidikan tidak mahu mendengar rintihan, rungutan mahupun teguran agar benar-benar menjadikan universiti bebas dari cengkaman politik. Slogan perjuangan beliau bersama ribuan mahasiswa ketika kempen PRU ke-14 dahulu hanya tenggelam dalam mimpi buruk yang diterjemahkan dengan sikap sebenar diri ketika berkuasa.

Dr Maszlee Malik yang kononnya berusaha mahu memberikan kebebasan kepada universiti dengan memberikan autonomi untuk 20 buah universiti awam hanya sekadar retorik kosong kerana lantikan politik masih berlaku di kampus-kampus. Ia bermula dengan pelantikan dirinya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Tidak cukup dengan itu, Setiausaha Politik Dr Maszlee, Mohd Nizam Morad pula dilantik sebagai salah seorang pengarah di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Hari ini Pengerusi PKR Perak, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty ke lembaga pengarah UniSZA yang berkuat kuasa 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021. Selepas ini siapa pula ahli politik akan diangkat memimpin kolej atau universiti tempatan. Namun dipercayai trend ini akan menular dengan ramai lagi lantikan politik di universiti awam.

Tidak ada gunanya memberikan kuasa autonomi kepada universiti-universiti, tetapi dalam masa yang sama suara orang politik mempengaruhi badan penasihat di universiti-universiti. Ia seakan melepaskan ikatan tangan dan mulut mahasiswa, tetapi mengikat ketat kakinya agar tidak boleh berjalan jauh. Mengapa tidak benar-benar mengotakan janji untuk memberikan kebebasan sepenuhnya kepada universiti tanpa lantikan politik? Apakah jaminan pemimpin politik ini tidak berkuasa mempengaruhi, memantau, dan memerhati pergerakan kakitangan universiti, pensyarah mahupun mahasiswa. Siapakah warga universiti yang berani ke depan jika ada pemimpin politik merangkap pemimpin kerajaan berada di dalam jawatankuasa penasihat atau pemimpin universiti?

Bantahan awam yang tidak bersetuju dengan nama-nama tersebut mengetuai badan di universiti mempunyai asas yang kuat. Pandangan awam menyatakan sepatutnya ruang akademik diserahkan langsung kepada ahli akademik. Pelantikan ini mencemar reputasi dunia akademik dan universiti tempatan. Apakah negara sudah ketandusan ahli-ahli akademik yang layak menerajui universiti berbanding ahli politik?

Jika ahli-ahli politik yang dilantik itu sememangnya berada dalam dunia akademik, masih mencurah bakti di kampus, serta berkelayakan dengan memiliki pengalaman dan kepakaran mereka, maka silalah memimpin universiti. Tidak timbul kecenderungan mereka ke arah politik mana yang disukai. Namun jika mereka telah terjun dalam dunia politik, menjadi ahli politik bahkan mempunyai kedudukan politik yang tinggi sebagai pemimpin kerajaan, maka ia dikira sebagai menyalahgunakan kedudukan.

Pelantikan ini memberi tanggapan negatif awam terhadap para pemimpin kerajaan PH. Ia menggambarkan pemimpin politik begitu rakus mahu merajai segala-galanya, termasuk masuk ke universiti-universiti tempatan menjadi penasihat atau ahli lembaga pengarah. Tidak cukup dengan syarikat berasaskan kerajaan (GLC) yang ada, universiti juga tidak terkecuali. Ia juga membayangkan bahawa para pemimpin politik amat takut dengan mahasiswa. Kampus-kampus yang sekian lama berjaya memupuk idealisme perjuangan rakyat serta melahirkan para pemimpin politik pada hari ini dikhuatiri akan melahirkan pemimpin yang menjadi penentang mereka kelak.

Malah, dengan waktu yang ada, dibimbangi kelantangan mahasiswa hari ini mengemudi rakyat bangkit untuk meranapkan kerajaan yang baharu dibentuk. Justeru, fikrah mahasiswa mesti dibentuk dan diacu selari dengan pemikiran mereka. Mahasiswa mesti dipantau sedekat mungkin agar jangan ada bibit-bibit kebencian dalam diri mereka terhadap kerajaan. – HARAKAHDAILY 11/10/2018

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -