Perkukuh ilmu hadapi pertembungan ideologi

- Advertisement -

ARAU: Umat Islam perlu memperkukuh ilmu bagi membina kefahaman Islam dengan jelas dalam menghadapi pertembungan ideologi yang semakin mencabar hari ini, demikian dinyatakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik.

- Advertisement -

Katanya, zaman ini umat Islam bukan sahaja berhadapan dengan pertembungan senjata, tetapi juga konflik ilmu dan pemikiran yang jauh lebih merbahaya kerana mampu menyesatkan manusia.

Menurutnya, golongan yang berpegang kepada ideologi-ideologi bercanggah dengan Islam semakin berani menggunakan hujah agama untuk mempertahankan ideologi mereka.

Lalu ujarnya, mereka itu menyebabkan masyarakat menjadi keliru dalam membezakan antara pihak yang benar-benar memperjuangkan Islam dengan pihak sebaliknya.

Justeru, beliau menyarankan pendukung perjuangan Islam memiliki ilmu dan kefahaman yang mantap untuk menghadapi golongan berkenaan sekali gus menjelaskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Zaman ini zaman pertarungan ilmu, pemikiran, zaman di mana Islam berdepan dengan ideologi liberalisme, pluralisme, bukan lagi zaman pertarungan pedang.

“Musuh pun guna hujah agama untuk pertahankan fahaman mereka, (justeru) kita memerlukan kefahaman agama yang jelas bagi menghadapi golongan ini,” tegasnya pada Kuliah Subuh di Balai Islam MADI, di sini kelmarin dahulu.

Mengulas lanjut, beliau berkata hanya manusia yang Allah S.W.T. inginkan kebaikan untuknya, akan diberikan kefahaman agama yang sebenar oleh-Nya.

Ini kerana ujarnya, terdapat golongan manusia yang memiliki ilmu, namun tidak dikurniakan kefahaman, menyebabkan mereka tidak dapat memanfaatkan ilmu telah dimiliki, serta hidup dalam kerugian sepanjang hayatnya.

Oleh itu, beliau mengingatkan supaya sentiasa ikhlas dan itqan dalam menuntut ilmu agar dikurniakan kefahaman jelas serta diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus istiqamah dalam perjuangan Islam. – HARAKAHDAILY 9/10/2018

- Advertisement -